PM Muhyiddin lancar Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030

ISKANDAR PUTERI, 6 Dis — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan buku Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 di ruang legar Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Pelan itu yang mengandungi lapan teras utama merupakan dokumen rujukan kepada seluruh barisan kepimpinan negeri, jentera pentadbiran kerajaan, pihak industri, pemimpin tempatan dan pihak-pihak berkenaan dalam merealisasikan strategi pembangunan yang dirangka untuk tempoh 10 tahun. 

Antara teras yang ditekankan dalam pelan terbabit ialah usaha pemerkasaan ekonomi, memperkasakan pelaburan dan ekonomi digital, penyediaan jaringan sistem pengangkutan dan infrastruktur mega serta melestarikan alam sekitar.

Turut diberi fokus ialah soal mengenai tadbir urus yang cekap, berintegriti dan dinamik; kesejahteraan sosial, memperkasakan sistem pendidikan Islam, pembangunan modal insan dan warisan budaya; serta pesona wanita dan aspirasi idealis anak muda.

Selain itu, pelan juga dirangka dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta aspirasi kerajaan negeri yang mahu memastikan ekonomi Johor berdaya tahan demi kemakmuran rakyat Johor. 

Sementara itu, semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 negeri Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata PPMJ 2030 merupakan pelan hala tuju yang dijangka dapat memacu pembangunan Johor secara progresif dan dinamik dengan berpaksikan visi Negeri Berprestasi Tinggi dan Bangsa Johor Bestari.

“Saya yakin suatu anjakan paradigma mampu dilakukan dalam mencorakkan masa depan Johor yang gemilang bagi tempoh sedekad akan datang untuk menjadikan Johor sebagai negeri berprestasi tinggi dan ini cukup serasi dengan gagasan yang kita bawa iaitu Makmur Johor,” katanya sebelum pelancaran buku berkenaan.

Turut hadir pada pelancaran buku itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kayat; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani; barisan Exco Johor serta Ketua Pembangkang Johor Aminolhuda Hassan.

— BERNAMA 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri