MPN usaha wujud 500,000 peluang pekerjaan bantu rakyat hadapi keadaan ekonomi sukar – PM

MUAR, 13 Dis — Kerajaan akan berusaha mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan menerusi Majlis Pekerjaan Negara (MPN), walaupun sedar terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang getir berikutan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana jumlah mereka yang menganggur pada tahun ini bertambah kepada 700,000 orang atau 5.6 peratus, berbanding hanya tiga peratus pada tahun sebelumnya.

“Jumlah mereka yang tiada pekerjaan meningkat, mereka yang meniaga terpaksa gulung tikar kerana rakyat tiada pendapatan, menyebabkan mereka menanggung kerugian. Disebabkan itu juga, mereka tidak mengambil pekerja baharu dan yang ada pun terpaksa diberhentikan.

“Sebab itu kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan (Negara) yang dipengerusikan saya sendiri, dengan tujuan untuk menentukan ekonomi negara dapat terus lebih tersusun dan cari jalan bantu rakyat, yang kini sebahagian besar hilang pekerjaan dan tiada pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan Deepavali peringkat Pagoh, di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Temiang Renchong, di sini hari ini.

Katanya walaupun sedar sasaran itu agak sukar untuk dicapai, namun kerajaan mengatur pelbagai langkah proaktif, termasuk menawarkan insentif cukai kepada pelabur asing bagi menarik minat mereka untuk menanam modal di negara ini.

“Sekarang susah hendak cari pelabur datang ke negara ini, walaupun Malaysia merupakan negara pilihan sebelum ini disebabkan kita mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik, tenaga buruh yang ramai, lebuh raya, tapak pembangunan kilang dan kemudahan api air.

“Jadi sekarang kalau kita tidak berusaha betul-betul dan mengambil langkah berani untuk tawar lebih insentif, mereka tidak akan datang ke negara ini untuk menanam modal, kerana seluruh dunia ketika ini juga mahukan pelaburan,” katanya.

Jelas Muhyiddin, apabila pelabur dari luar ini beralih ke negara lain, maka mereka tidak datang, kerajaan secara langsung tak dapat sediakan peluang-peluang pekerjaan.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta Kementerian Sumber Manusia dan kementerian lain yang berkenaan, supaya menggunakan dana sebanyak RM2 bilion yang disediakan kerajaan untuk melatih lebih ramai golongan muda, khususnya dalam bidang kemahiran.

Katanya pada masa kini ramai graduan serta lepasan sekolah gagal memperolehi pekerjaan dan beliau yakin dengan kemahiran yang diperoleh itu, mampu membantu golongan tersebut untuk menyara kehidupan.

Sementara itu langkah kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) dilakukan, bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi negara.

Walaupun ada pihak yang mempertikaikan perkara itu, namun keputusan itu dilakukan oleh kerajaan setelah membuat penelitian mendalam.

“Ekonomi negara masih belum pulih, orang niaga tepi jalan pun tidak ramai yang melanggan, kompleks membeli belah pun kosong, banyak hotel tutup sebab tidak ada orang datang.

“Sebab itu baru-baru ini saya buat keputusan untuk beri kelonggaran sedikit, supaya orang Kuala Lumpur dapat datang ke Desaru, Johor dan orang Johor dapat datang ke Pantai Timur.

“Sekarang ini saya check hotel sudah penuh, ini satu petanda baik. Sebab itu walaupun COVID-19 belum selesai, kita benarkan rakyat untuk berjalan tetapi dengan syarat semua sop yang ditetapkan dipatuhi,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri