Jasa Prof Diraja Ungku Aziz tiada tolok banding – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Jasa dan pengorbanan Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid tiada tolok bandingnya dan akan sentiasa dikenang di minda dan hati setiap rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani.

“Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), dua institusi yang dekat di hati orang Melayu merupakan antara jasa besar yang ditinggalkan Allahyarham.

“Negara cukup merasa kehilangan atas pemergian Allahyarham. Bagi pihak kerajaan, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuangkan dan memperkasakan bidang pendidikan, ekonomi dan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebooknya malam ini.

Perdana menteri berkata Allahyarham juga merupakan seorang pakar ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada pembangunan agama, bangsa dan negara termasuk dalam menangani isu kemiskinan di luar bandar.

Allahyarham adalah anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dan memegang jawatan itu paling lama iaitu selama 20 tahun sejak 1968.

Di bawah kepimpinan beliau (Allahyarham), Pusat Asasi Sains ditubuhkan yang menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan, kata Muhyiddin.

“Saya dan keluarga berkongsi kesedihan seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang tersayang. Saya berharap mereka semua tabah menghadapi dugaan ini,” kata perdana menteri.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia pada kira-kira 4 petang tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, pada 9.30 malam ini.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri