Bantuan Kepada Golongan Miskin dan Miskin Tegar semasa PKP

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS


PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU [TAMBUN]

TARIKH : 8 DISEMBER 2020 (SELASA)

SOALAN NO.

Minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan telah mengenal pasti golongan yang jatuh ke kategori miskin dan miskin tegar secara tiba-tiba akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan apakah kaedah yang dilakukan untuk membantu golongan tersebut.

JAWAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN,
PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

1. Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, krisis COVID-19 telah menjejaskan ekonomi dunia dengan ketara. Berdasarkan anggaran Bank Dunia, pandemik COVID-19 ini akan menyebabkan tambahan antara 88 juta sehingga 115 juta orang tergolong dalam kategori miskin tegar di seluruh dunia pada tahun 2020.

2. Pandemik COVID-19 telah menyebabkan peningkatan pengangguran dan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar di negara kita. Data-data sedang dikumpul untuk mengenal pasti kumpulan-kumpulan baharu yang jatuh dalam kumpulan miskin dan miskin tegar ini. Setakat 3 Disember 2020, pekerja kehilangan pekerjaan yang menuntut insurans kehilangan pekerjaan adalah seramai 101,385 iaitu lebih tinggi berbanding dengan kira-kira 40 ribu pekerja pada tahun 2019 dan 24 ribu pada tahun 2018. 52% daripada jumlah tersebut adalah bergaji RM2,000 sebulan dan ke bawah, iaitu kumpulan miskin dan miskin tegar.

3. Kerajaan menyedari kesukaran yang dihadapi oleh rakyat luar bandar dan bandar akibat pandemik COVID-19 dan PKP. Sehubungan itu, tumpuan akan diberikan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menangani miskin bandar dan luar bandar.

4. Berdasarkan kajian berkaitan kemiskinan bandar dan kesejahteraan rakyat ke atas 500 keluarga di 16 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilaksanakan oleh UNICEF pada Oktober 2020, kadar pengangguran orang dewasa dalam komuniti adalah masih tinggi iaitu 35% dan kadar kemiskinan adalah lebih tinggi daripada tahun lepas iaitu satu daripada setiap dua isirumah dalam kemiskinan. Kerajaan sentiasa memantau keadaan kemiskinan dalam kalangan rakyat melalui sistem eKasih yang kita akan perbaiki.

Tuan Yang di-Pertua,

5. Kerajaan telah dan sedang melakukan usaha pemulihan ekonomi dan sosial merangkumi mengimbangi keperluan ekonomi, sosial dan kesihatan rakyat yang dikategorikan sebagai miskin. Antara lain ialah RM2.2 bilion telah diperuntukkan untuk Bantuan Kewangan Bulanan Persekutuan bagi tahun 2021 berbanding dengan RM1.5 bilion pada tahun ini. Ini adalah untuk OKU dan lain-lain kumpulan.

6. Kerajaan telah meneruskan Program Bantuan Sara Hidup yang telah memberi manfaat kepada 4.5 juta orang penerima dengan peruntukan berjumlah RM5 bilion dalam tahun 2020. Sebagai Kerajaan prihatin, dua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah diperkenalkan di bawah pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN, Kita PRIHATIN dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 18.2 bilion. Setakat ini, 10.6 juta rakyat telah dimanfaatkan daripada BPN dan 98.6 juta daripada BPN 2.0.

7. Kerajaan akan sentiasa memberikan fokus kepada agenda pembasmian kemiskinan dalam pelan pembangunan negara sehingga kini. Sehubungan itu, Kerajaan pada 02 September 2020 telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kemiskinan bagi membincangkan dasar dan strategi pembasmian kemiskinan termasuk peranan Kementerian dan agensi yang terlibat bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan, dan mereka tidak terlepas daripada jaringan keselamatan sosial.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan