PM Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter di Taman Melawati

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter yang berlaku di Taman Melawati dekat sini hari ini.

Muhyiddin dalam hantaran Facebook beliau berharap keluarga mangsa tabah dalam menghadapi ujian itu.

Perdana menteri berkata beliau amat sedih apabila mendapat berita mengenai dua individu yang terkorban dan dua lagi cedera dalam nahas itu.

Muhyiddin turut mendoakan kedua-dua yang cedera tersebut diberikan kesembuhan segera.

Kemalangan itu membabitkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis G2CA yang berlaku ketika kedua-dua pesawat tersebut sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dengan setiap pesawat membawa dua orang.

Sebuah daripada pesawat itu terhempas dan meragut nyawa bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamed Sabri Baharom, 56, yang beralamat di Wangsa Melawati serta Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Dua yang terselamat ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi helikopter model 9M-HCA selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berdekatan.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri