COVID-19: Majikan perlu tekankan aspek penjagaan kesihatan, pematuhan SOP

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Kementerian Sumber Manusia perlu memaklumkan kepada majikan agar menekankan kepentingan penjagaan status kesihatan pekerja, bagi mencegah jangkitan pandemik COVID-19 khususnya dalam kalangan pekerja asing dan pendatang tanpa izin, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri yang mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19 hari ini berkata, antara punca jangkitan dalam kalangan mereka adalah disebabkan oleh kesesakan di tempat tinggal atau rumah kongsi, serta depoh tahanan sementara.

“Sidang Khas MKN memberi perhatian kepada kes penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin, di tempat tinggal atau depoh tahanan sementara yang semakin meningkat.

“Saya difahamkan sesetengah rumah kongsi didiami sehingga 40 orang dan keadaan ini menjadi punca COVID-19 menular dengan cepat. Keadaan yang sama turut berlaku di pusat tahanan terutama di Sabah, yang terpaksa menampung jumlah kemasukan pendatang tanpa izin yang sangat ramai,” katanya dalam catatan facebook rasminya hari ini.

Mengenai kos ujian calitan (swab test) kepada pekerja asing, Muhyiddin berkata kos tersebut perlu ditanggung majikan, dan beliau telah mengarahkan agensi berkaitan untuk segera berbincang dan membentangkan perkara itu pada sidang MKN akan datang.

Sementara itu, Muhyiddin turut membangkitkan persoalan mengenai SOP jumlah penumpang yang dibenarkan berada di dalam kenderaan dalam satu-satu masa.

“Saya berpandangan jumlahnya tidak boleh berbeza-beza, perlu ada satu ketetapan yang selaras antara jumlah di dalam kenderaan persendirian dan kenderaan e-hailing,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri