SOP lebih ketat, kawal penularan COVID-19 dalam penjara – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Ujian ‘swab’ saringan COVID-19 wajib bagi semua banduan baharu, serta ditempatkan di tempat berasingan yang diwartakan ‘penjara sementara’, sebagai prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya Muhyiddin berkata, SOP yang lebih ketat di penjara ini dibuat Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19, selepas mengambil kira penularan kes COVID-19 di dalam kawasan penjara.

“Sekiranya hasil ujian didapati positif COVID-19, banduan terbabit akan dihantar terus ke hospital, manakala mereka yang negatif akan tetap dikuarantin di ‘penjara sementara’ selama 14 hari, sebelum dipindahkan ke penjara kekal. Sekiranya bergejala, mereka juga akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, walaupun diuji negatif.

“Bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan banduan reman pula, mesyuarat memutuskan agar sebutan kes di mahkamah, dijalankan secara dalam talian,” katanya. 

Mengenai situasi pandemik di Sabah terutama di kawasan pantai timur beliau berkata, kapasiti sumber manusia, peralatan dan logistik, akan dipertingkatkan termasuk di hospital-hospital, serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dimaklumkan untuk bersedia bagi memenuhi keperluan logistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri itu.

“Saya percaya para petugas barisan hadapan termasuk agensi di bawah KKM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain akan menggunakan segala kepakaran dan pengalaman sebelum ini untuk bersama-sama kita melandaikan lengkungan COVID-19.

“Yang penting, kita semua mesti bersatu hati dalam menghadapi detik mencabar ini. Insya-Allah,” katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Khas MKN itu menerusi sidang video di kediaman beliau, pagi tadi.

Berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang, ahli mesyuarat termasuk Menteri Besar Selangor, bersetuju memperincikan pelaksanaan perintah itu daripada segi lokaliti memandangkan mukim itu agak besar.

Muhyiddin berkata ini juga mengambil kira maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bahawa hanya lokaliti tertentu mukim itu yang terkesan, dengan penularan COVID-19.

“Saya menekankan bahawa kegiatan ekonomi dan industri di kawasan itu, termasuk aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang perlu dipastikan tidak terjejas.

“Pelaksanaan PKPB di kawasan itu juga mestilah tidak menjejaskan sektor ekonomi yang sedang pulih, lebih-lebih lagi pekerjaan dan pendapatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melaporkan bahawa, pihak industri bersedia untuk terus beroperasi dengan melaksanakan pematuhan SOP yang ketat bagi membendung penularan pandemik ini.

— BERNAMA

Pagi tadi saya telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 menerusi…

Posted by Muhyiddin Yassin on Khamis, 8 Oktober 2020

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri