Pelaksanaan PKPB langkah tepat – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Keputusan untuk meletakkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai tengah malam ini adalah langkah tepat dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan melaksanakan PKPB di kawasan tersebut dibuat selepas meneliti kes COVID-19 khususnya yang melonjak di Selangor sejak beberapa hari lalu.

“Mengamati dengan apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu, khususnya di Selangor, jumlah penduduknya padat, kes berlaku di seluruh daerah di negeri itu dan trend telah meningkat. Walaupun di zon kuning, kita boleh melihat jumlah kes melonjak di Gombak dan daerah Hulu Langat.

“Saya fikir ini adalah langkah tepat diambil oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisyitharkan negeri Selangor diletak di bawah PKPB. Atas dasar pencegahan dan proaktif, apa yang dilakukan oleh MKN itu sebenarnya boleh membendung pandemik ini,” katanya pada sidang media maya, hari ini.

Sidang media khas itu berlangsung di kediamannya di Putrajaya.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang mempersoalkan keputusan kerajaan pusat mengenakan PKPB di seluruh negeri itu apabila tidak semua kawasan diisytiharkan sebagai zon merah.

Perdana Menteri berkata Amirudin bagaimanapun bersetuju dengan keputusan kerajaan Persekutuan melaksanakan PKPB di Selangor selepas mendapat penjelasan menerusi panggilan telefon daripada Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Muhyiddin menegaskan bahawa PKPB adalah untuk mengurangkan pergerakan orang ramai tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi.

“Pasar malam, pasar minggu masih boleh diteruskan kerana kami faham harus ada keseimbangan antara melindungi nyawa dan mata pencarian,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata langkah tersebut sekalipun dilihat drastik, adalah penting dalam melindungi nyawa rakyat Malaysia.

“Kalau berlaku di lain-lain negeri, kalau banyak kawasan sudah (zon) kuning, satu dua daerah sudah merah, itu adalah isyarat bahawa jangan kita lambat (bertindak), kalau kita lambat sangat, banyak nyawa akan terkorban, sebab itulah kita ambil langkah sedemikian,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes menular di seluruh negara, Muhyiddin berkata pihaknya akan menjalankan strategi bagi mengawal wabak tersebut termasuk menyediakan semua yang diperlukan Kementerian Kesihatan.

“Kalau kali kedua PKP, kita tidak boleh nak ramalkan. Baharu (ekonomi) nak pulih, dah hampir RM300 bilion kita sediakan untuk membantu rakyat dengan sebahagian besarnya pun sudah kita salurkan, maka kalau PKP kali kedua, kita terpaksa menyediakan jumlah yang jauh lagi besar,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri