COVID-19: PM Muhyiddin arah kawalan, keupayaan tindakan kesihatan di Sabah dipertingkat

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan supaya kawalan serta keupayaan tindakan kesihatan awam di Sabah, dipertingkat bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dengan segera.

Perkara berkenaan dinyatakan beliau ketika mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang diadakan mengikut norma baharu menerusi sidang video dari Pejabat Perdana Menteri.

Menurut kenyataan yang dipaparkan di Facebook Muhyiddin, mesyuarat MKN hari ini membincangkan tindakan seterusnya, bagi mengawal dan menguruskan pandemik COVID-19.

“Perdana Menteri turut mengingatkan ahli mesyuarat dan agensi supaya memberi komitmen penuh di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bagi memastikan penduduk terlibat mendapat bantuan barang keperluan yang mencukupi,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara & Bajet 2021

Kenyataan itu menyebut, Muhyiddin turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-36 pada sebelah pagi, serta taklimat Bajet 2021 pada sebelah petangnya yang diadakan mengikut norma baharu.

Pada mesyuarat MPFN, Perdana Menteri menggesa semua pihak terlibat supaya memudah cara perancangan dan pembinaan infrastruktur digital, terutama di peringkat negeri dan kerajaan tempatan bagi memastikan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi, disediakan kepada rakyat.

“Ini kerana, pandemik COVID-19 menyaksikan kebergantungan yang tinggi kepada liputan jalur lebar yang berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu.

Panggilan Telefon Presiden Turkmenistan

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov, dan berbincang mengenai kerjasama dua hala yang telah terjalin sejak 28 tahun lepas.

“Petronas telah bertapak di negara itu sejak 1996 dan merupakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan mencecah AS$11 bilion.

“Perdana Menteri menyambut baik jemputan Presiden Berdimuhamedov untuk melawat negara tersebut dan menjemput beliau untuk melawat Malaysia setelah situasi COVID-19 pulih,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri