Belanjawan 2021 berpaksikan empat teras utama, tumpu pada golongan mudah terjejas – PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 Nov depan akan berpaksikan kepada empat teras utama termasuk sokongan bersasar kepada golongan yang mudah terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ramai golongan yang masih terjejas meskipun kerajaan telah menyediakan pelbagai pakej rangsangan berjumlah hampir RM300 bilion.

“Belanjawan ini akan menyediakan satu lagi bentuk bantuan dan sokongan kepada golongan itu,” katanya pada sidang media khas di kediaman beliau, di Putrajaya, hari ini.

Bagi teras kedua, Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 akan menumpukan sokongan kepada industri melalui insentif tertentu setelah langkah-langkah pemulihan dilaksanakan manakala teras yang lain termasuklah memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan membangunkan kehidupan yang lestari.

Menurutnya, ia bertujuan untuk membendung kelompok B40 daripada terjerumus ke paras kemiskinan dengan menyediakan ‘jaringan keselamatan’ yang kukuh.

“Hasrat saya adalah untuk menjadikan rakyat dan perniagaan lebih bertahan, bagi menghadapi keadaan yang tidak menentu akibat COVID-19 dan demi kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata, fokus belanjawan akan masih lagi tertumpu kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa dan mengekalkan mata pencarian rakyat.

“Ini kita akan tumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu memperkasakan rakyat, menyokong perniagaan dan terus memperkukuhkan ekonomi.

“Di samping kita hendak pastikan agar kesihatan awam dan sokongan buat barisan hadapan yang telah dilakukan selama ini dapat diteruskan,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi yang telah dicapai melalui pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA Prihatin.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri