PM Muhyiddin terima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Thailand

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Urusan membawa pulang baki rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah selatan Thailand dan pembinaan dua jambatan persahabatan di Kelantan merupakan antara topik perbincangan semasa kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Thailand Narong Sasitorn ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut dibincangkan dalam pertemuan di Putrajaya hari ini adalah usaha mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada dengan meneroka lebih banyak kerjasama dalam pelbagai bidang untuk manfaat kedua-dua negara.

“Hari ini saya menerima kunjungan hormat perpisahan Sasitorn yang akan menamatkan perkhidmatannya hujung bulan ini,” kata Muhyiddin menerusi catatan di laman Facebook beliau malam ini.

Mengenai proses membawa pulang rakyat Malaysia, Muhyiddin memohon kerjasama kerajaan Thailand untuk memudahkan urusan tersebut memandangkan mereka sedang menunggu kelulusan untuk merentas sempadan negara.

“Selain mengucapkan terima kasih kepada Sasitorn atas peranannya membantu memudahkan urusan membawa pulang 282 rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand berikutan penularan wabak COVID-19, saya juga berharap pihak berkuasa Thailand membantu urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di wilayah selatan negara itu,” katanya.

Berkongsi mengenai jumlah rakyat Malaysia yang telah pulang dari wilayah itu, Muhyiddin berkata lebih 1,000 rakyat negara ini pulang setelah dibantu pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata Sasitorn juga mengambil maklum mengenai langkah yang diambil Malaysia dalam membantu menghantar pulang lebih kurang 17,000 rakyat Thailand yang berada di negara ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya memaklumkan yang kerajaan Malaysia telah membantu membawa pulang 110 warga Thailand yang berada di empat buah negara melalui penerbangan khas,” kata Muhyiddin.

Menyentuh mengenai komitmen antara Malaysia dan Thailand membina jambatan persahabatan di Tak Bai-Pengkalan Kubor serta Sungai Golok-Rantau Panjang yang menghubungkan Kelantan dan Narathiwat, beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk terus berbincang mengenai pembinaan tersebut.

“Kami juga memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk terus mengadakan perbincangan berhubung pembinaan jambatan persahabatan selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal Bersama yang dijadual pada Mac lepas ditangguhkan akibat COVID-19,” katanya.

Menurut Muhyiddin, beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menjalin hubungan baik dengan Thailand dalam menangani kesan daripada penularan pandemik COVID-19 selain menzahirkan penghargaan terhadap Sasitorn sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai Duta Besar di negara ini.

Turut dimuat naik dalam catatan itu, lima keping gambar kunjungan hormat tersebut.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan