PM Muhyiddin mulakan lawatan kerja ke Pangkor dengan tinjau jeti

PULAU PANGKOR, 15 Sept  —  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memulakan lawatan kerja sulungnya ke Pulau Pangkor dengan meninjau Terminal Jeti Penumpang Pulau Pangkor, jeti utama yang menghubungkan pulau bebas cukai berkenaan dengan tanah besar.

Muhyiddin tiba di pulau itu pada kira-kira 9.30 pagi dan meluangkan masa selama 20 minit di situ  termasuk mendengar taklimat oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Taklimat termasuk isu-isu dan perancangan penambahbaikan terminal itu yang merupakan antara fokus di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Muhyiddin dalam rangka lawatan seharinya turut dijadual mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 (PB23) yang akan membincangkan secara lebih lanjut mengenai SDP 2021-2025 NCER.

Sementara itu, Jebasingam berkata cadangan naik taraf terminal berkenaan termasuk mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) serta menambah struktur untuk feri berlabuh bagi menampung sehingga enam feri pada satu-satu masa berbanding hanya tiga sekarang.

Zambry pula ketika ditemui pemberita berkata projek itu perlu disegerakan bagi menampung kehadiran pelancong yang semakin meningkat hingga mencapai 30,000 orang sehari terutama pada musim cuti.

“Bagaimanapun, keadaan jeti utama yang kecil menyebabkan masalah kesesakan dan sebab itu kerja menaik taraf jeti perlu disegerakan supaya lebih selesa.

“Ini termasuk jeti di Sungai Pinang Kecil untuk kegunaan penduduk pulau ini dan jeti kargo untuk mengangkut barang,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas