MTE bincang impak larangan rentas sempadan antarabangsa kepada ekonomi negara

MELAKA, 14 Sept  — Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) hari ini membincangkan impak larangan merentas sempadan antarabangsa kepada ekonomi negara dan rakyat, serta strategi dan langkah yang perlu diambil bagi menanganinya berikutan penularan pandemik COVID-19. 

MTE Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pada mesyuarat MTE yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sebuah hotel di Bandar Hilir, pagi tadi, satu kertas bertajuk ‘Balancing Lives and Livelihoods – The Economic Impact of Business Travel Restrictions’ telah dibentangkan. 

“MTE buat pertama kali menganjurkan mesyuarat kali ke-20 di luar Lembah Klang setelah enam bulan ditubuhkan dan ini merupakan sebahagian daripada usaha MTE berinteraksi secara terus dengan rakyat dan industri, setelah beberapa siri lawatan dan tinjauan dilaksanakan di Lembah Klang.

“Ia adalah sebahagian daripada tindakan susulan kepada pelbagai sesi libat urus dan perbincangan MTE bersama pelbagai sektor bagi memahami dengan lebih mendalam cabaran dihadapi oleh pelbagai pihak dalam menyegarkan semula ekonomi negara semasa mendepani pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Sejak ditubuhkan pada Mac lepas, MTE telah membincangkan 44 kertas dan membuat 97 keputusan setelah melihat secara terperinci pelbagai isu ekonomi yang dihadapi oleh pelbagai sektor terutamanya berkaitan COVID-19, serta merangka langkah intervensi dan penyelesaian terhadapnya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas