Kunjungan Hormat Duta Besar Perancis

Pagi ini saya telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT)…

Posted by Muhyiddin Yassin on Khamis, 3 September 2020


Daripada pos di Halaman Facebook Rasmi YAB Perdana Menteri :

Pagi ini saya telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Frédéric Laplanche, yang akan menamatkan perkhidmatannya hujung bulan ini.

Pada perjumpaan itu, kami berbincang mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis termasuk pandemik COVID-19. Perancis sehingga kini telah merekodkan lebih 300,000 kes.

Kami berkongsi pengalaman dan pandangan bagi menambah baik serta mempertingkatkan usaha mengawal penularan jangkitan virus ini.

Menurut TYT Frédéric Laplanche, Perancis kini dalam proses menghasilkan vaksin COVID-19. Buat masa ini, terdapat tiga syarikat di Perancis terlibat dalam usaha tersebut.

Pada kesempatan itu, saya menyampaikan hasrat Malaysia untuk turut bekerjasama dengan Perancis dalam penghasilan vaksin berkenaan.

Kami turut membincangkan isu minyak sawit. Saya difahamkan Parlimen Perancis pada 19 Disember 2018 telah meluluskan pindaan ke atas Belanjawan 2019 yang membawa kepada penamatan insentif cukai minyak sawit bermula tahun ini.

Pada perbincangan tersebut, Duta Besar Perancis memaklumkan bahawa jumlah import minyak sawit dari Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding tahun 2018.

Alhamdulillah, saya menyambut baik perkembangan ini dan berharap agar Perancis dapat menilai semula isu minyak sawit ini dengan sewajarnya pada masa akan datang.

Selain itu, Perancis memberi komitmen untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dan menyatakan hasrat terlibat sama dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Sehingga tahun 2019, Perancis adalah negara pelabur keenam terbesar di Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM9.69 bilion, yang memberikan pekerjaan kepada 18,094 rakyat Malaysia.

Sebelum mengakhiri perjumpaan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menjalin hubungan baik dengan Perancis, malah bersedia memperkukuhkan hubungan pada masa hadapan termasuk kesediaan Malaysia untuk meneroka peluang kerjasama yang baharu.

Terima kasih saya ucapkan kepada TYT Frédéric Laplanche atas khidmat dan sumbangan sepanjang khidmat beliau sebagai Duta Besar Perancis ke Malaysia.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri