“Jaga Daniel baik-baik,” pesan PM Muhyiddin

PUTATAN, 11 Sept  — “Jaga Daniel baik-baik,” itu pesan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ayah anak istimewa itu, Safri Leman ketika berkunjung ke kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat di sini hari ini.

Daniel Zafwan, 10, anak autisme, disahkan menghidap jantung berlubang pada usia dua tahun sebelum menjalani pembedahan di India pada 2012 dan terpaksa bergantung hidup menggunakan bateri yang perlu diganti setiap 10 tahun sekali.

Safri, bapa kepada empat cahaya mata, berkata beliau terharu dan amat bertuah kerana pemimpin nombor satu negara itu sudi meluangkan masa kira-kira 15 minit di rumahnya.

“Beliau (Muhyiddin) juga bertanya khabar dan meninjau keadaan dalam rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPR Taman Sri Keramat Suhaimi Maidin bersyukur perdana menteri sudi meluangkan masa bertemu penduduk di PPR tersebut yang mempunyai empat blok dan dihuni 2,800 orang.

Lawatan julung kali Muhyiddin ke kawasan itu amat bermakna kerana ia membuktikan keprihatinan perdana menteri terhadap penghuni PPR dan Suhaimi berharap agar status sewa mereka di perumahan itu ditukar kepada sewa beli.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri