COVID-19: PM Muhyiddin minta rakyat kekal berjaga-jaga

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Susulan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 kepada tiga angka hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat supaya kekal berjaga-jaga.

Sambil melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes itu, beliau berkata risiko dan bahaya penularan wabak COVID-19 masih ada, dan ia belum selesai.

Muhyiddin berkata menurut pakar perubatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), keselamatan rakyat tidak akan terjamin selagi vaksin masih belum ditemui.

“Kerajaan telah buat keputusan bahawa mesti ada tindakan yang tegas dan segera diambil untuk menentukan walaupun kita tidak mengeluarkan vaksin, tetapi vaksin mesti ada di hadapan rumah kita.

“Tindakan sedang diambil untuk menguruskan soal penting ini (vaksin) dan kerjasama dengan negara pengeluar sudah kita jalin untuk jamin bekalan mencukupi pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun keempat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, malam ini.

Kes baharu COVID-19 meningkat kepada tiga angka hari ini, iaitu 100 kes berbanding 62 kes semalam menjadikan kes positif kumulatif di Malaysia kini berjumlah 9,559 kes.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri