Amanat YAB Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Malaysia 2020

TEKS UCAPAN 

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN  
PERDANA MENTERI MALAYSIA 
SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2020 
PADA 16 SEPTEMBER 2020  
BERTEMPAT DI SIBU, SARAWAK 

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Yang Amat Berbahagia Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib.

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.

Yang Berbahagia Dato’Aidi bin Haji Moktar, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri yang mewakili Ketua Menteri Sabah, dan isteri Yang Berbahagia Datin Hajah Faridah binti Mohammad.

Yang Berhormat Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia,

Barisan Jemaah Menteri Persekutuan dan Negeri Sarawak, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Malaysia bagi tahun 2020 pada malam yang berbahagia ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan ke majlis kita pada malam ini yang menandakan betapa penting dan signifikannya sambutan Hari Malaysia bukan sahaja kepada rakyat di Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

3. 16 September adalah satu tarikh yang amat simbolik dan bersejarah. Pada pagi hari ini 57 tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah mengisytiharkan pembentukan Persekutuan Malaysia.

4. Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun adalah untuk mengingatkan kita bahawa pembentukan Malaysia tidak datang bergolek dalam sekelip mata. Sebaliknya ia adalah hasil perjuangan rakyat dan pemimpin kita terdahulu yang mahu melihat lahirnya sebuah negara Malaysia yang merdeka dan bersatu-padu.

5. Semenjak detik pembentukan Malaysia, kita telah berjaya menempuh liku-liku cabaran sehingga menjadi sebuah negara yang bebas, berdaulat dan berkemajuan pada hari ini. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang setia dan cintakan tanah air untuk terus mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemajuan yang kita kecapi selama ini.

6. Saya percaya hari ini juga adalah hari yang cukup bermakna untuk Sarawak. Negeri Bumi Kenyalang ini telah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Sambutan yang diadakan di bandar Sibu pada hari ini yang penduduknya terdiri dari pelbagai etnik, agama dan latarbelakang sosial merupakan cerminan kepelbagaian rakyat Malaysia yang hidup secara aman dan harmoni di negara kita. Inilah lambang perpaduan rakyat Malaysia yang kita raikan pada hari ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

7. Sambutan Hari Malaysia pada malam ini merupakan kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan yang telah saya lancarkan pada 28 Julai yang lalu. Majlis ini diadakan dalam keadaan kita masih lagi berjuang memerangi wabak COVID-19. Beberapa kawasan di negara kita termasuk di Sabah mencatatkan peningkatan kes-kes baharu COVID-19. Kes-kes ini menunjukkan bahawa perjuangan kita menentang COVID-19 masih belum berakhir. Justeru, kita semua mestilah sentiasa berwaspada menghadapi ancaman wabak ini dengan sentiasa mengamalkan norma-norma baharu kehidupan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

8. Pada masa yang sama, tumpuan kerajaan pada ketika ini ialah untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi negara yang terjejas akibat penularan wabak ini. Kerajaan telah mengambil langkah proaktif sejak dari awal dengan menyalurkan bantuan kepada semua golongan rakyat yang terjejas melalui pelbagai inisiatif seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA dengan nilai keseluruhan sebanyak RM295 bilion.

9. Baru-baru ini Bank Negara Malaysia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar negatif 3.4 hingga negatif 5.5 peratus berikutan impak COVID-19 yang turut melanda ekonomi di seluruh dunia. Walau bagaimanapun ekonomi negara dijangka pulih pada tahun hadapan dengan unjuran pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus sehingga 8 peratus yang dipacu oleh pertumbuhan ekonomi global dan domestik secara berterusan. Saya yakin usaha pemulihan ekonomi akan dipertingkatkan melalui Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan November nanti, Insya-Allah.

10. Kerajaan Persekutuan juga sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak. Baru-baru ini saya telah mengumumkan pelan infrastrukur digital iaitu Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

11. Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional untuk memastikan tiada warganegara yang ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan. Ini termasuk penduduk di Sabah dan Sarawak yang kita ketahui sebahagian besarnya agak ketinggalan dari segi memperolehi akses kepada capaian internet berkelajuan tinggi.

12. Pelan JENDELA adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi-agensi berkaitan bersama pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama. Pelan ini merangkumi penambahbaikan komunikasi digital negara secara berfasa.

12. Fasa Pertama telah bermula dengan usaha memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk serta membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit. Rangkaian 3G juga akan ditamatkan secara berperingkat sehingga akhir tahun 2021 bagi memantapkan rangkaian 4G serta memperkukuh asas bagi rangkaian 5G. Fasa kedua iaitu peralihan kepada rangkaian 5G akan menyusul selepas tamatnya fasa pertama.

14. Pastinya penduduk Sabah dan Sarawak adalah antara yang bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan ini. Di Sabah, sebanyak 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial bagi meningkatkan liputan 4G. Di Sarawak pula, sebanyak 49 menara baharu dan 825 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial.

15. Kerajaan Persekutuan akan terus memantau kemajuan pelaksanaan pelan ini secara menyeluruh. Saya yakin dengan adanya sokongan padu dan kerjasama erat antara Kementerian, agensi yang berkaitan dan Kerajaan Negeri, pelan JENDELA ini pastinya akan mendatangkan banyak faedah kepada rakyat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

16. Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara. Di peringkat awal pembentukan kabinet kerajaan Perikatan Nasional, saya telah mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.

17. Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September yang lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai Perdana Menteri. Majlis Khas ini akan turut dianggotai oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, YAB Ketua Menteri Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

18. Majlis Khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Antaranya ialah kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan. Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan.

19. Saya berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang penting ialah usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

20. Saya hendak nyatakan di sini isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan dan sehati sejiwa. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan saya kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan sahabat baik saya YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang telah berunding dengan PETRONAS untuk mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak. Alhamdulillah, isu ini telah berjaya diselesaikan dengan beberapa perincian yang sedang dibincang oleh kedua-dua pihak. Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat. InsyaAllah, rundingan dengan Sabah akan kita mulakan selepas Pilihanraya Negeri Sabah selesai, Insya-Allah.

21. Selain itu, soal kedaulatan wilayah juga akan terus kita pertahankan tanpa sebarang kompromi. Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita.

22. Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara. Ini termasuk melaksanakan Ops Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

23. Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, saya menyeru saudara dan saudari sekalian agar menghayati dengan mendalam makna Hari Malaysia. Ini adalah hari kita membulatkan tekad, memperkukuhkan azam dan membugarkan semangat perpaduan seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bersatu hati sebagai sebuah bangsa yang berjaya dan dihormati. Jadikanlah tarikh 16 September ini sebagai titik pembaharuan semangat perpaduan kita demi membentuk sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

24. Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah inilah yang menjadi tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya. Oleh itu, perkukuhkanlah perpaduan, pupuk kerjasama yang lebih erat dan tingkatkan integrasi. InsyaAllah, dengan semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional yang jitu, Malaysia yang kita cintai dan tumpahkan sepenuh taat setia ini akan terus berada di landasan yang kukuh untuk menempa lebih banyak kejayaan pada masa yang akan datang.

25. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana jua anda berada. Sama-samalah kita berdoa semoga negara kita yang bertuah ini sentiasa dilimpahi rahmat kemanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan.

26. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan penganjuran Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini. Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada anda semua.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas