2,500 pelajar B40 terima dermasiswa MyBrighter Future YTN 2020

KOTA KINABALU, 11 Sept — Seramai 2,500 pelajar baharu daripada keluarga golongan B40 di seluruh negara, terpilih menerima tawaran program Dermasiswa ‘MyBrighter Future’ Yayasan Tenaga Nasional (YTN) 2020 bagi melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang, di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Daripada jumlah itu, seramai 154 orang adalah pelajar baharu dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Sabah, yang terpilih menerima dermasiswa berkenaan pada tahun ini.

Seorang penerima, Raiyre Roland dari Papar yang merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika ditemui Bernama berkata, dermasiswa itu sedikit sebanyak membantu meringankan kos pembelajaran yang ditanggungnya.

“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang menerima dermasiswa ini dan sangat bangga kerana menjadi antara yang terpilih,” katanya pada majlis penyampaian tawaran program dermasiswa MyBrighter Future YTN 2020, yang disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di UMS di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Mahdzir Khalid, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sementara itu, seorang lagi penerima Ishak Abdul Han berasal dari Pulau Tigabu Banggi, Kudat turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada TNB, kerana memilih beliau menerima tawaran dermasiswa tersebut sekali gus dapat meringankan beban keluarganya.

Bagi pelajar Teknologi Elektrik dari Kolej Komuniti Beaufort Datu Mohamad Yusdee Datu Akmad pula, dermasiswa diberikan TNB itu akan digunakan sebaiknya, bagi membeli keperluan pembelajaran.

Bapanya, Datu Akmad Datu Ismail turut berterima kasih kepada TNB menerusi yayasan berkenaan kerana memberi dermasiswa tersebut kepada Datu Mohamad Yusdee dan berharap anak lelakinya itu akan terus mencapai kejayaan dalam bidang diceburi.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara kerajaan dan TNB, bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama pelaksanaan program dermasiswa MyBrighter Future.

Program dermasiswa MyBrighter Future memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar bumiputera dan bukan bumiputera, daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh Malaysia yang mengikuti pengajian dalam bidang atau kursus tertentu.

Sehingga kini, seramai 315 pelajar dari Sabah telah diberi penajaan sejak ia diperkenalkan pada 2018, melibatkan 225 pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, 70 pelajar sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan 20 orang sedang belajar di peringkat sijil.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri