Teks Ucapan YAB Perdana Menteri mengenai Pelanjutan PKPP

TEKS UCAPAN 

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN 
PERDANA MENTERI MALAYSIA 

PELANJUTAN PKPP 

Bismillahirrahmanirrahim. 

Assalamuálaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. 

Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat walafiat.

1. Alhamdulillah, kehidupan seharian kita telah berjalan hampir seperti biasa melalui amalan norma-norma baharu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir pada 31 Ogos 2020. Penularan wabak COVID-19 dalam negara adalah terkawal dengan hanya satu digit kes positif yang baharu dicatatkan pada masa-masa tertentu. Ekonomi negara kita juga sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif ke arah pemulihan.

2. Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat Malaysia. Wabak ini dapat kita kawal kerana saudara dan saudari sekalian mengambil satu tanggungjawab yang serius untuk mencegah COVID-19. Ini termasuk dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan membudayakan norma-norma baharu kehidupan.

3. Sungguhpun demikian, penularan COVID-19 di peringkat global masih belum menunjukkan tanda-tanda ianya akan berakhir dalam waktu yang terdekat. Sehingga kini, 22 juta kes positif COVID-19 dilaporkan dengan lebih 780 ribu kematian. Negara- negara jiran kita juga masih berusaha keras untuk menangani penularan COVID-19.

4. Bagi mengatasi krisis ini, pelbagai pihak sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin COVID-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan penularan COVID- 19 akan berlanjutan untuk satu tempoh masa yang agak lebih lama. Justeru, adalah menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini untuk mengenalpasti kluster-kluster yang mungkin wujud di negara kita dan mengambil tindakan segera untuk menghalang jangkitan dalam komuniti.

5. Sebagaimana saudara dan saudari pun sedia maklum, negara kita masih berhadapan dengan risiko penularan COVID-19 sepertimana yang berlaku menerusi kluster Sivagangga, Tawar dan Sala di negeri Kedah, Sanglang di Perlis dan juga kluster di negeri Sarawak baru-baru ini. Risiko ini perlu ditangani segera dan dikawal dengan tindakan-tindakan yang tegas dan tangkas sebelum ia merebak dengan lebih meluas.

6. Ini termasuk tindakan kerajaan untuk memperketatkan kawalan sempadan negara. Kerajaan telah mewajibkan warganegara yang pulang dari luar negara dan warga asing yang memasuki negara ini untuk menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

7. Saya sedar berdasarkan perkembangan di peringkat global kita akan melalui satu tempoh yang agak lebih lama sebelum negara kita dapat bebas sepenuhnya daripada ancaman wabak COVID-19. Buat masa ini keadaan adalah terkawal. Namun, sekiranya berlaku peningkatan kes-kes jangkitan di lokaliti tertentu, kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara bersasar seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar sepertimana yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan sebelum ini.

8. Ini bermakna kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha-usaha mencegah dan mengawal penularan wabak COVID 19. Justeru, demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil. Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard dan protokol kesihatan yang ditetapkan.

9. Negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak COVID-19 mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia. Melihat kepada kes-kes yang berlaku di luar negara, virus ini bukan sahaja masih aktif malah menular secara cepat pada skala yang besar. Saya sedar bahawa kita tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus super spreader di negara kita. Oleh itu peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.

10. Tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal. Sehubungan itu, saya juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang. Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 itu perlu dipinda terlebih dahulu.

11. Walaupun PKPP dilanjutkan, saya yakin kehidupan saudara-saudari tidak akan terjejas kerana aktiviti harian boleh dilaksanakan seperti biasa dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan. Yang penting ialah saudara-saudari mesti terus membiasakan diri dengan pemakaian pelitup muka, membasuh tangan, sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelakkan berada tempat-tempat yang sesak. Saya percaya semua ini telah pun saudara-saudari lakukan selama ini sehingga kita berjaya mengekang penularan wabak COVID 19 di dalam masyarakat kita.

12. Memandangkan pelitup muka adalah satu barangan keperluan yang saudara- saudari gunakan hampir setiap masa, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang berunding dengan pihak pengilang dan pembekal untuk menurunkan harga pelitup muka. InsyaAllah, jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan ini akan meringankan sedikit beban saudara- saudari sekalian.

13. Pada masa ini hampir semua sektor telah pun dibenarkan beroperasi kecuali sebilangan kecil yang masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan. Ini adalah tempat-tempat di mana norma baharu agak sukar untuk diamalkan. Kemasukan pelancong asing juga masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes-kes import ke dalam negara. Aktiviti-aktiviti sukan dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton.

14. Selaras dengan pelanjutan tempoh PKPP, Tabung COVID-19 yang diurus oleh NADMA juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Sehubungan itu, pihak- pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini bolehlah berbuat demikian. Sumbangan kepada tabung ini akan digunakan untuk membantu mangsa COVID-19 dan menyediakan keperluan-keperluan untuk membendung wabak ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Dengan semangat sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 yang bertemakan Malaysia Prihatin, saya menyeru saudara dan saudari semua supaya sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab kita untuk membendung penularan wabak COVID-19. Kita semua adalah frontliners yang berada di barisan paling hadapan untuk memerangi dan mencegah wabak ini. Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah wabak COVID-19, negara kita akan berjaya untuk bebas daripada wabak ini dengan lebih cepat.

16. Saya mendoakan semoga saudara dan saudari terus diberikan perlindungan daripada wabak ini dan sentiasa sihat sejahtera.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas