Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos –Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah di Masjid Negara malam ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 6.30 petang itu disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir isteri perdana menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datin Seri Dr Shereen Mohd Yunos.

Majlis yang dipimpin Imam Sudais Malaysia Ustaz Syukri Ali dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan doa akhir dan awal tahun oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni dan diikuti solat Maghrib berjemaah.

Zulkifli dalam ucapannya pada majlis itu, berkata tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ membawa mesej penting yang perlu dihayati bersama.

Katanya mesej tersebut amat bermakna dalam negara dan umat Islam seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Moga dengan semangat hijrah ini, kita jelmakan dalam mengharungi hari-hari mendatang dengan norma baharu, yang berbeza dengan hari sebelumnya.

“Sayugianya bagi insan yang bercirikan rabbani, semua itu tetap cekal digagahi demi mencapai reda ilahi,” kata Zulkifli.

Terdahulu, para hadirin mengikuti program bual bicara khas Maal Hijrah yang disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1.

— BERNAMA


Dr Noor Hisham dinobat Tokoh Maal Hijrah 2020

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah, pada sambutan di Masjid Negara, malam ini.

Syeikh Al-Azhar Al-Syarif Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula, diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman itu dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global.

Malah kedua-dua tokoh terbabit mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing, menerima pingat dan sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah berkenaan pada majlis itu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan