PM Muhyiddin terima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Datuk Zamrose Mohd Zain di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Kunjungan itu merupakan kunjungan rasmi pertama oleh Zamrose selepas dilantik sebagai PTD menggantikan Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkuat kuasa 11 Jun lepas.

“Saya yakin dengan pengalaman yang ada, Jeneral Datuk Zamrose selaku PTD berupaya memacu cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu ke tahap lebih gemilang di persada negara dan antarabangsa.

“Semoga pelantikan ini akan membantu memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani isu keselamatan yang semakin kompleks,” kata Muhyiddin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menerusi perkongsian itu, Muhyiddin berkata beliau turut menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor yang dijadual menamatkan perkhidmatan pada 14 Ogos ini.

“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Mazlan Mansor atas jasa dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang memimpin pasukan,” katanya.

Mazlan mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1979 dengan pangkat inspektor dan melalui pelbagai pengalaman dalam kerjaya sebelum dilantik sebagai timbalan ketua Polis Negara ke-25 pada Mei 2019.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas