Jawatankuasa teliti, ubah suai sistem penyampaian perkhidmatan awam dicadang ditubuhkan – PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengusulkan penubuhan sebuah jawatankuasa atau pasukan petugas, untuk meneliti dan mengubah suai sistem penyampaian perkhidmatan awam, demi pemulihan ekonomi negara.

Berucap pada Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di sini hari ini Muhyiddin berkata, langkah itu perlu demi memulihkan ekonomi negara dengan pantas susulan wabak COVID-19 dan satu tindakan mesti dilakukan, untuk melihat birokrasi dapat dianjak dalam situasi baru dan dalam keadaan baru.

“Setiap saudara adalah pegawai yang tertakluk kepada peraturan…setiap kerja yang kita uruskan ada perkara yang ditetapkan, ada pekeliling perkhidmatan, ada aturan berkaitan kewangan, soal pengurusan dan sebagainya.

“Saya tidak nafikan itu penting, tetapi kalau kita hanya berpandukan keadaan sebegitu dan tiada satu langkah baru dibuat, saya takut bahawa urusan kita untuk memulihkan ekonomi…jangan cakap untuk menstrukturkan semula, ‘reform’ ekonomi kita tidak akan berlaku sepantas mana yang kita harapkan.

“Saya hendak usulkan kalau belum ada, di hadapan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, dibentuk sebuah jawatankuasa atau pasukan petugas, untuk meneliti bagaimana cara-cara yang telah kita guna pakai selama ini, dapat kita ubah suai tanpa mengkompromi aturan utama, dari segi kewangan dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri