Ucapan di Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

DI MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-50 RUKUN NEGARA

PADA 9 JULAI 2020; PUKUL 3.00 PETANG
BERTEMPAT DI DEWAN ICU, BANGUNAN PERDANA PUTRA,
PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Dan Industri

Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan Pertahanan

Yang Berhormat Dr. Mohd Radzi Bin Md Jidin
Menteri Kanan Pendidikan

Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Abdullah
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Yang Berhormat Datuk Halimah Binti Mohamed Sadique
Menteri Perpaduan Negara

YBhg Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali
Ketua Setiausaha Negara

YBhg. Datuk Mohd Khairul Adib Bin Abd Rahman
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Dif-dif kehormat, saudara dan saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama hadir dalam satu majlis yang amat bersejarah pada petang ini iaitu Pelancaran Sambutan Ulangtahun ke-50 Rukunegara.

2. Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik dan cintakan tanah air, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa kita junjung. Sejak di bangku sekolah lagi, kita diperkenalkan dengan lima prinsip Rukun Negara yang tidak pernah lekang di ingatan kita. Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan bukan sahaja sentiasa disebut, malah telah sebati dalam jiwa sanubari kita.

3. Saudara-saudari tentunya masih ingat, kelima-lima prinsip ini tercatat di buku-buku latihan, di papan tanda, di dinding sekolah dan di tempat-tempat lain yang mudah untuk dibaca. Ertinya, setiap seorang daripada kita yang bergelar rakyat Malaysia semestinya mengetahui dan mengingati kelima-lima prinsip ini.

4. Malah yang lebih penting ialah prinsip-prinsip inilah yang memberi makna yang amat mendalam kepada diri kita sebagai rakyat Malaysia. Kita berasa bangga menjadi warganegara Malaysia walau apapun kaum, agama dan warna kulit kita kerana kita mempunyai jatidiri yang sebahagiannya dibentuk oleh prinsip Rukun Negara. Kelima-lima prinsip ini menjadi asas identiti diri dan penyatuan kita sebagai bangsa Malaysia.

5. Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada Raja dan negara, kita junjung keluhuran perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan kita seharian. Tidak kiralah samada anda seorang Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana kaum dan suku kaum sekalipun, sekiranya anda bergelar warganegara Malaysia, inilah ciri-ciri yang wajib anda miliki. Perbezaan ras dan warna kulit tidak menjadi penghalang kepada kita semua untuk bersatu hati sebagai satu bangsa yang mempunyai nilai-nilai yang sama, yang berpegang kepada prinsip kenegaraan yang sama, dan berbangga menjadi warga sebuah negara yang aman, makmur dan harmoni.

6. Namun, kita sedar bahawa proses pembinaan negara bangsa yang bersatu padu lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukanlah mudah. Jalan yang kita tempuhi untuk sampai di tempat di mana kita berada sekarang agak mencabar. Banyak ranjau dan duri yang kita tempuhi. Banyak liku dan lurah yang kita lalui.

7. Apapun, Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan dan kecekalan rakyat yang terdiri dari semua kaum di negara ini, kita berjaya mengatasi segala halangan. Kita ketepikan perbezaan dan persengketaan yang wujud dalam masyarakat. Kita pupuk persefahaman dan perpaduan sesama kita. Akhirnya, perbezaan kaum, agama, wilayah dan status sosial tidak menjadi penghalang kepada kita semua untuk hidup secara aman dan harmoni di negara ini.

8. Ini adalah pencapaian kita, pencapaian saudara dan saudari semua, yang sepatutnya kita banggakan. Maka hari ini, sempena sambutan ulangtahun ke-50 Rukun Negara yang mempertautkan seluruh rakyat Malaysia dalam satu semangat dan nilai perpaduan yang jitu, marilah kita bersama-sama memperteguhkan iltizam untuk terus menjunjung kelima-lima prinsip Rukun Negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

9. Pencapaian kita di masa lalu seharusnya menjadi panduan kepada kita untuk mengharungi masa hadapan yang lebih mencabar. Dengan dunia tanpa sempadan dan kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat, kita seringkali berhadapan dengan isu-isu baharu yang kadangkala menguji tahap perpaduan dan keharmonian rakyat.

10. Pada masa-masa yang lalu, pihak berkuasa menerima banyak laporan mengenai perbuatan atau perkataan yang dipaparkan di media sosial seperti whatsapp, facebook dan twitter yang kadangkala menyinggung perasaan anggota masyarakat yang lain. Walaupun siasatan dijalankan dan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang, namun perbuatan sedemikian meninggalkan kesan luka yang mendalam ke atas perpaduan dan keharmonian masyarakat kita.

11. Saya percaya keadaan ini boleh kita elakkan jika kita mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara. Pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Ini adalah prinsip yang paling penting dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Perlembagaan negara kita mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni. Apabila prinsip ini dihormati, wujudlah keharmonian agama di negara kita. Tidak ada lagi pihak yang mempersoalkan kedudukan agama Islam atau hak penganut agama-agama lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing.

12. Kedua, kesetiaan kepada Raja dan Negara. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara dan lambang perpaduan rakyat. Rakyat berbilang kaum dan agama bernaung di bawah kebijaksanaan Tuanku dalam memelihara dan melindungi hak semua rakyat secara adil dan saksama. Di negeri-negeri pula, Raja-Raja Melayu dan Yang Di-Pertua Negeri adalah tonggak perpaduan. Apabila kita setia kepada Raja, bermakna kita juga komited kepada usaha untuk memelihara perpaduan dan keharmonian di negara kita.

13. Ketiga, keluhuran perlembagaan. Di dalam perlembagaan negara kita, telah termaktub hak-hak rakyat yang mesti dihormati oleh semua pihak. Selagimana kita menghormati hak-hak ini yang memberi layanan secara adil dan saksama kepada semua warganegara, maka keharmonian negara kita akan sentiasa terpelihara. Tidak ada mana-mana individu yang tertinggal dan terkecuali dalam menikmati hak dan melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.

14. Keempat ialah kedaulatan undang-undang. Prinsipnya mudah sahaja. Tidak ada sesiapapun yang kedudukannya lebih tinggi daripada undang-undang. Jika seseorang didapati melanggar undang-undang, termasuklah menimbulkan kekacauan dan ketegangan dalam masyarakat, maka tindakan yang setimpal perlu diambil dengan tegas dan segera tanpa gentar atau pilih kasih.

15. Kelima ialah prinsip yang paling penting iaitu kesopanan dan kesusilaan. Ingat, masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang bersopan dan bertatasusila. Kita adalah masyarakat yang beradab. Kita kaya dengan budi bahasa. Kita bertimbang rasa. Kita berpekerti mulia. Kita tidak mudah mengeluarkan kata-kata kesat atau melakukan perbuatan yang tidak senonoh sehingga menyinggung atau menghina perasaan orang lain. It is un-Malaysian to be rude. It is un-Malaysian to be inconsiderate. Jika kita semua bersopan, bertatasusila, beradab dan berbudi bahasa dalam pergaulan seharian, baik secara fizikal atau secara maya di media sosial, saya yakin masyarakat kita akan menjadi masyarakat yang paling harmoni dan bersatu-padu di dunia.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

16. Sebenarnya bukanlah sukar untuk kita menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara. Yang penting ialah kita mempunyai kesedaran untuk sentiasa mengeratkan perpaduan dan memelihara keharmonian masyarakat menerusi amalan prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam Rukun Negara.

17. Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah sentiasa diamalkan dalam masyarakat kita dan diwarisi dari satu generasi ke generasi. Untuk itu saya mencadangkan supaya pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan. Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh menerajui pelaksanaan agenda ini menerusi pelbagai program, inisiatif dan aktiviti di bawah Kementerian dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan, pihak swasta dan masyarakat sivil. Saya percaya jika usaha yang bersungguh-sungguh digembeleng oleh semua pihak, kita akan berjaya menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai Rukun Negara demi mengeratkan perpaduan rakyat di negara kita.

18. Perpaduan rakyat amat penting lebih-lebih lagi ketika negara kita berhadapan dengan krisis. Saya amat terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi wabak Covid-19 baru-baru ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan perpaduan saudara-saudarilah yang telah membolehkan kerajaan mengurus wabak ini dengan berkesan dan dikatakan antara yang terbaik di dunia. Saudara-saudari tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit dan status sosial telah bersama-sama bantu-membantu dan melindungi antara satu sama lain sehingga kita berjaya mengatasi krisis ini. Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini kita teruskan pada masa-masa akan datang, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga kita di masa hadapan.

19. Saya percaya dalam jiwa sanubari saudara-saudari semua tertanam nilai-nilai kebaikan yang sentiasa mengajak kita untuk saling hormat-menghormati dan kasih-mangasihi sesama manusia, apatah lagi sesama warganegara. Nilai-nilai kebaikan inilah yang mesti sentiasa kita pupuk dan suburkan di dalam masyarakat demi mempereratkan perpaduan sesama kita.

20. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Sambutan Ulangtahun Ke-50 Rukun Negara. Semoga acara yang dirancang sempena sambutan yang amat bersejarah ini akan menyemarakkan lagi semangat perpaduan di negara kita.

21. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas