PM ucap takziah atas pemergian ADUN Slim

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Bentong, Pahang, hari ini.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya di Facebook.

Allahyarham Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, dilaporkan meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Yusof Unis, dalam kenyataan, berkata Allahyarham mengalami serangan jantung pada jam 2.30 petang ketika bermain golf dan dikejarkan ke Hospital Bentong 10 minit kemudian.

Menurutnya, pakar perubatan kecemasan dan trauma di hospital berkenaan mengesahkan Allahyarham meninggal dunia pada jam 4.15 petang.

Allahyarham merupakan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu menang kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 2,183 undi menentang calon PKR, Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada PAS.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas