PM bangga kerjasama dan pematuhan rakyat terhadap COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Perdana Menteri melahirkan rasa bangga terhadap seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang membawa kejayaan negara mencatat hanya satu kes baharu dan sifar kes penularan tempatan semalam dalam memerangi COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui kemaskini akaun facebook rasminya dengan tajuk “TAHNIAH FRONTLINERS! TAHNIAH RAKYAT MALAYSIA!” malam ini turut menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan negara berikutan pencapaian membanggakan itu.

“Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Malaysia. Ya, perkembangan positif ini sememangnya membuatkan kita sangat teruja dan bangga.

“Syabas dan jutaan terima kasih kepada ‘frontliners’ yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak COVID-19 di dalam negara,” katanya.

Menurut beliau, trend penurunan jumlah kes harian tempatan sehingga merekodkan angka satu digit sejak akhir-akhir ini menunjukkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai wabak COVID-19 serta pematuhan kepada SOP semakin tinggi.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan rakyat supaya jangan rasa terlalu selesa sehingga alpa dan lalai dalam usaha mengawal jangkitan pandemik itu.

Tegasnya rakyat perlu terus berwaspada, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa walau di mana mereka berada.

“Dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) ini, kita semua adalah ‘frontliners’.

“Kita semua memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk melindungi keluarga, komuniti dan negara daripada wabak COVID-19.

“Insya-Allah saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Malaysia, kita akhirnya pasti akan berjaya memerangi COVID-19. Saya berbangga dengan anda semua. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam masuk hari ke-22 PKPP, negara mencatat sejarah apabila tiada kes yang dilaporkan mendapat jangkitan dari dalam negara iaitu penularan tempatan, sama ada dalam kalangan warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara, selain itu buat pertama kalinya mencatatkan kes harian terendah dengan hanya satu kes.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas