Perutusan Hari Raya Aidil Adha 1441H/2020M

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA 1441H/2020

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya seluruh umat Islam di negara ini akan menyambut hari raya Aidiladha esok.

2. Saya percaya pada ketika ini ramai dalam kalangan saudara-saudari telah berada di kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidiladha bersama ibu-bapa dan kaum keluarga yang tercinta.

3. Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar. Kisah dan sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anakanda Baginda Nabi Ismail Alaihissalam menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam dalam kita menghadapi cabaran kehidupan seharian.

4. Bagi kita umat Islam di Malaysia, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi cabaran wabak Covid-19. Aidiladha pada kali ini mengingatkan kita tentang erti kesabaran dan berlapang dada dalam menempuh kesukaran hidup. Pengorbanan sepenuh jiwa dan raga telah saudari-saudari lakukan.

5. Sejak 18 Mac lalu, saudara-saudari akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP termasuklah PKP Pemulihan yang sedang berkuatkuasa pada waktu ini. Alhamdulillah, hasilnya kita telah berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

6. Namun begitu, saya hendak mengingatkan bahawa kita masih belum berjaya sepenuhnya dalam memerangi wabak Covid-19. Malaysia dan banyak negara lain masih belum diisytiharkan bebas daripada pandemik ini. Bahkan sejak mutakhir ini, terdapat sedikit peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita.

7. Justeru, kita tidak boleh leka dan alpa. Sebaliknya kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard atau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

8. Bersempena dengan hari raya Aidiladha mulai esok sehingga 13 Zulhijjah, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang akan melaksanakan ibadah korban, iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut oleh syarak. Laksanakanlah ibadah korban dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu hadkan jumlah yang hadir di tempat penyembelihan tidak melebihi 20 orang bagi seekor

lembu. Anda juga tidak dibenarkan mengadakan kenduri di tempat ibadah korban dijalankan. Apabila selesai sahaja memotong dan membahagikan daging korban, segeralah pulang ke rumah masing- masing.

9. Di rumah pula, pastikan jumlah sanak-saudara yang datang berziarah tidak melebihi 20 orang pada satu masa. Elakkan bersalam-salaman. Jika di rumah anda ada ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah, beritahu sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat-handai jangan datang ziarah. Ini bahaya. Kita tidak tahu mungkin akan ada jangkitan jika orang yang dikuarantin itu kemudiannya didapati positif Covid-19.

10. Di samping itu, pastikan ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin tidak keluar dari rumah. Jangan dia pula yang berjalan ke sana ke sini. Saya dapat laporan ada dalam kalangan mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah keluar dari rumah. Ini satu kesalahan berat. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar arahan kuarantin.

11. Seperkara lagi, hari Raya Aidiladha esok jatuh pada hari Jumaat. Saya pasti masjid di pekan-pekan kecil dan kampung-kampung akan menjadi agak sesak bukan sahaja semasa solat sunat Aidiladha, tetapi juga semasa solat Jumaat diadakan. Ini kerana ramai perantau pulang ke kampung halaman masing-masing. Jadi saya nak minta kerjasama imam-imam, bilal, tok siak dan semua ahli jawatankuasa masjid supaya kawal keadaan. Pastikan jarak yang selamat antara makmum. Pergerakan keluar dan masuk masjid juga mesti dikawal supaya teratur.

12. Saya sebutkan SOP ini secara agak terperinci sebagai peringatan. Supaya sepanjang sambutan Aidiladha esok dan pada hari- hari tasyrik, keadaan terkawal dan teratur. Saya nak mengingatkan jika kita tidak peka dan berhati-hati, kemungkinan jangkitan Covid-19 merebak semasa musim perayaan ini adalah tinggi. Kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Jadi, lebih baiklah kita beringat dan berwaspada.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

13. Saya berdoa semoga ibadah korban kita pada tahun ini diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ibadah ini merupakan tanda ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kita kepada Allah.

14. Kepada bakal jemaah haji yang tertangguh peluang menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini akibat wabak Covid-19, saya berdoa semoga saudara-saudari akan berpeluang menunaikan ibadah haji pada tahun-tahun hadapan. Saya percaya saudara-saudari telah menerima ketentuan ini dengan penuh redha, sabar dan berlapang dada. Yakinlah, ia juga merupakan satu bentuk pengorbanan yang tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t.

15. Di kesempatan ini, saya, isteri dan seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Raikanlah Aidiladha secara bersederhana sebagaimana tuntutan syariat dan hayatilah erti pengorbanan di sebalik Aidiladha pada kali ini. Tanpa mengenal erti putus asa, marilah kita bersama-

sama memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala semoga wabak Covid-19 segera berakhir.

16. Sesungguhnya, pertolongan dan rahmat Allah itu sangat hampir kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Maka tingkatkanlah ketakwaan kita dan berdoalah kepada-Nya. Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan dan kita beroleh kemenangan.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas