Perkasa ilmu sains, teknologi dan inovasi untuk pacu ekonomi negara – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Penguasaan ilmu Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) perlu diperkasa bagi memastikan negara terus berdaya saing dalam kemajuan sosial dan ekonomi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penerapan STI penting ketika negara sedang berhadapan landskap sosioekonomi pasca COVID-19.

Kementerian Sains, Tekonologi dan Inovasi dalam satu kenyataan memaklumkan perdana menteri berkata demikian sewaktu mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Sains Negara 2020 hari ini.

Kenyataan itu menyebut mesyuarat turut dihadiri Menteri STI Khairy Jamaluddin, timbalannya Ahmad Amzad Hasim, ketua setiausaha kementerian Datuk Ir.Dr. Siti Hamisah Tapsir, selain ahli akademik dan industri.

Mesyuarat itu antara lain bagi memperincikan dasar dan hala tuju masa depan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berteknologi tinggi.

Muhyiddin dalam ucapannya di mesyuarat itu juga menyeru semua kementerian supaya memahami dan menggunakan STI yang terkini dalam tadbir urus sektor masing-masing.

“Pembangunan dasar-dasar baharu negara haruslah berteraskan kepada analitik data besar dan kajian saintifik agar relevan dengan perkembangan sosioekonomi semasa,” menurut kenyataan itu.

Muhyiddin juga menyarankan kebergantungan kepada teknologi import perlu dikurangkan untuk membuka peluang kepada syarikat tempatan menyelidik dan membangunkan teknologi yang mampu bersaing dan dieksport untuk pasaran antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi dalam usaha memperkukuhkan kemampuan STIE negara, mesyuarat hari ini bersetuju agar Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 digubal dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak berkepentingan.

Mesyuarat juga antara lain menggariskan pemacu sosioekonomi seperti perkhidmatan perniagaan dan kewangan, teknologi pintar dan sistem, pertanian dan perhutanan yang digabungkan dengan pemacu sains dan teknologi antaranya membabitkan 5G/6G, teknologi sensor dan teknologi neuro.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas