Perjumpaan pertama Muhyiddin, warga JPM selepas PKP

PUTRAJAYA, 6 Julai  — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan perjumpaan pertama dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) setelah menerajui pentadbiran kerajaan sejak 1 Mac lepas.

Perjumpaan bersama warga JPM yang lazimnya diadakan di Dataran Perdana, Perdana Putra pada setiap bulan itu merupakan yang pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lepas bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin yang mengenakan sut berwarna hitam tiba pada kira-kira 8.26 pagi menyanyikan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang serta mengaminkan doa bersama warga JPM sebelum menyampaikan ucapan.

“Saya panjatkan syukur kerana buat pertama kalinya kita dapat mengadakan perhimpunan bulanan JPM yang sewajarnya kita adakan beberapa bulan lalu disebabkan oleh kerana kita melalui satu tempoh yang amat mencabar,” kata Muhyiddin memulakan ucapan serta bertanya khabar kepada penjawat awam.

Perjumpaan itu berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mencegah penularan COVID-19 dengan dihadiri tidak lebih 250 orang terdiri daripada tiga pengurusan kanan atau wakil daripada 56 agensi di bawah JPM.

Selain itu, setiap individu perlu melalui pemeriksaan suhu badan dan merekodkan kedatangan, memakai pelitup separuh muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Turut hadir ialah lima Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-tugas Khas), Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) dan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama).

Hadir sama, timbalan-timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Eddin Syazlee Shith (Parlimen dan Undang-Undang), Datin Mastura Mohd Yazid (Tugas-Tugas Khas), Datuk Hanifah Hajar Taib (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Arthur Joseph Kurup (Ekonomi) dan Ahmad Marzuk Shaary (Hal Ehwal Agama) serta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 1 Mac.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas