Kerajaan akan terus sokong Felda untuk bangkit semula – PM Muhyiddin

TAPAH, 7 Julai — Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan terus memberikan sokongan padu kepada Felda untuk bangkit semula dan mengorak langkah dengan lebih gagah pada masa hadapan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata usaha itu akan membolehkan Felda melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

“Saya ingin memberi jaminan kepada seluruh warga Felda bahawa Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya akan terus memberikan sokongan padu kepada Felda untuk bangkit semula dan mengorak langkah dengan lebih gagah pada masa hadapan,” katanya,

Beliau berkata demikian semasa melancarkan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai dekat sini hari ini.

Sebagai langkah awal untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan Felda, Perdana Menteri telah mengarahkan penubuhan Pasukan Khas Menangani Isu Felda yang dipengerusikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

“Pasukan ini sedang berusaha mengenal pasti kaedah terbaik untuk menjamin kelestarian kewangan FELDA yang akan memberi manfaat kepada seluruh warga peneroka,” kata Muhyiddin.

Pasukan itu, katanya, akan membentangkan hasil laporan kepadanya dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata beliau sedar Felda sedang berada dalam situasi yang agak sukar pada waktu ini, namun sumbangan besar Felda kepada pembangunan negara sejak awal Felda ditubuhkan 64 tahun dahulu hingga ke hari ini, amat dihargai.

Beliau berkata antara kejayaan utama Felda ialah membasmi kemiskinan, meningkatkan hasil komoditi negara dan meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya di luar bandar.

Muhyiddin berkata Felda mempunyai potensi yang amat besar untuk menjadi antara pengeluar makanan utama negara dan mewujudkan jaminan bekalan makanan yang stabil memandangkan ia memiliki tanah pertanian yang luas.

“Di samping menjadi pengeluar komoditi utama negara, saya juga ingin melihat Felda bangkit sebagai pemangkin dan peneraju industri makanan berskala besar dengan menggerakkan aktiviti perladangan berteraskan pertanian pintar dan aktiviti hiliran yang inovatif,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga akan terus membantu melahirkan usahawan dalam kalangan warga Felda dan agensi itu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia akan mengenal pasti 15 projek keusahawanan bernilai tinggi untuk dilaksanakan dengan sasaran melahirkan 3,170 usahawan dalam tempoh lima bulan.

Bagi membolehkan generasi baharu Felda memiliki rumah, Muhyiddin mengumumkan Agrobank bersetuju menyediakan pembiayaan 110 peratus dari harga rumah dengan nilai maksimum RM300,000.

Di samping itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM286 juta bagi projek-projek infrastruktur di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara dan kini bersetuju memperuntukkan RM200 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara jalan pertanian kebun peneroka.

Masa depan anak-anak peneroka juga diberi perhatian dengan kerajaan bersetuju memperuntukkan RM45 juta bagi menaik taraf Asrama Semai Bakti Felda di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuantan bagi memelihara kebajikan pendidikan mereka.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan sesi interaktif secara maya dengan para peneroka di empat wilayah iaitu Kuala Terengganu (Terengganu), Segamat (Johor), Jengka (Pahang) dan Alor Setar (Kedah).

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas