Duta Besar, Pesuruhjaya Tinggi berperanan penting bantu pulih ekonomi – PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menekankan peranan penting yang boleh dilakukan oleh Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi negara dalam membantu usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara pasca-COVID-19.

Beliau juga menegaskan kepentingan meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala negara yang semakin mencabar khususnya ketika pandemik ini, selain perlu mencari jalan terbaik bagi menarik semula para pelabur.

“Saya juga meminta mereka untuk bekerja keras bagi meningkatkan hubungan dua hala yang memberi nilai tambah kepada pelaburan dan perdagangan dalam bidang seperti pelancongan, sains, pendidikan dan teknologi maklumat.

“Saya menaruh keyakinan penuh kesemua duta dan pesuruhjaya tinggi yang dilantik ini dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk negara,” katanya dalam catatan di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menerima kunjungan hormat selama 45 minit daripada empat Duta Besar dan seorang Pesuruhjaya Tinggi yang baru dilantik.

Mereka ialah Datuk Bala Chandran Tharman (Duta Besar ke Rusia), Abu Bakar Mamat (Chile), Sazali Mustafa Kamal (Turki), Zamshari Shaharan (Qatar) dan Haznah Md Hashim (Pesuruhjaya Tinggi ke Bangladesh).

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada mereka atas pelantikan tersebut.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas