PM Muhyiddin lawat IKS De Muara Enterprise

TANGKAK, 27 Jun — Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melakukan lawatan ke Industri Kecil dan Sederhana (IKS) De Muara Enterprise di Bukit Gambir di sini.

Beliau yang tiba pada jam 9.20 pagi pada lawatan itu diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Muhyiddin, yang meluangkan masa kira-kira 30 minit pada lawatan itu, mendengar penerangan tentang operasi syarikat De Muara Enterpirse yang menghasilkan pes masakan seperti asam pedas dan mee bandung daripada pemiliknya Mohamad Zain Solihin.

Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, pulang ke kawasannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelonggaran merentas negeri diberikan.

Beliau hari ini dijadual menghadiri beberapa majlis lain antaranya Perjumpaan Bersama Pemimpin Masyarakat Seluruh DUN Gambir, melawat tapak pembinaan Masjid Tuan Guru Md Yassin, dan perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh

Sementara itu, Mohamad Zain, ketika ditemui Bernama, memberitahu pada lawatan itu Muhyiddin memberi kata-kata semangat dan dorongan untuk beliau mengembangkan syarikatnya ke tahap lebih tinggi.

“Sudah tentu teruja dan terharu apabila melihat sendiri keprihatinan Perdana Menteri terhadap usahawan IKS seperti saya. Saya akan bawa semangat ini untuk bawa syarikat ini ke tahap lebih baik lagi,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas