Inisiatif utama PM Muhyiddin sepanjang 100 hari

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Pelbagai inisiatif penting diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri ke-8 sejak 1 Mac.

Inisiatif tersebut menyentuh terutamanya aspek kesihatan, ekonomi dan sosial semasa negara berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan kejatuhan harga minyak dunia.

Berikut adalah inisiatif utama yang dilaksanakan oleh perdana menteri:

9 Mac: Umum Kabinet merangkumi 32 menteri, dan buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri, sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan.

11 Mac: Tubuh Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi mendepani cabaran ekonomi negara.

  • Lancar tabung khas bantu pesakit COVID-19

13 Mac: Meningkatkan bilangan hospital bagi merawat kes COVID-19 melalui kolaborasi dengan hospital swasta, hospital tentera dan hospital universiti.

16 Mac: Isytihar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk menutup pintu sempadan negara kepada warga asing.

19 Mac: Umum peruntukan tambahan RM160 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk disalurkan kepada 26 hospital di negara ini, bagi pembelian aset perubatan dan aset bukan perubatan, susulan gelombang kedua wabak itu di negara ini.

23 Mac: Umum peruntukan tambahan RM500 juta kepada KKM bagi menangani gejala COVID-19, RM100 juta untuk lantik 2,000 kakitangan kesihatan baharu, dan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran dari Akaun 2 bagi meringankan beban ketika menghadapi cabaran COVID-19.

25 Mac: Tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020, dan umum penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat.

27 Mac: Bentang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatan Rakyat berjumlah RM250 bilion bagi manfaat rakyat dengan tiada golongan yang akan tercicir dan lebih separuh daripada peruntukan iaitu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat serta meringankan beban rakyat.

  • Antaranya pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion kepada kumpulan M40 dan ke bawah, RM1 bilion peruntukan tambahan kepada KKM bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan, elaun khas petugas barisan hadapan sebanyak RM600 sebulan mulai 1 April.
  • Program subsidi upah diperkenal bagi membantu majikan mengekalkan pekerja mereka dengan peruntukan RM5.9 bilion dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang.

6 April: Umum Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

10 April: Umum tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 28 April dan beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang PKP berkuat kuasa.

15 April: Kerajaan mengumumkan sebanyak US$300 juta atau RM1.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat.

1 Mei: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei.

10 Mei: PKPB yang berkuat kuasa sehingga 12 Mei akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020.

30 Mei: Muhyiddin mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

5 Jun: Mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berjumlah RM35 bilion bagi memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

7 Jun: Mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos tahun ini apabila negara memasuki fasa pemulihan pandemik COVID-10 dalam tempoh itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas