Ucapan Sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020

UCAPAN
YAB TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MUHAMMAD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2020
15 MEI 2020

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Apa khabar semua. Semoga saudara saudari berada dalam keadaan sihat walafiat.

Alhamdulillah. Bersyukur kita kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama meraikan Sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini. Tarikh 15 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang penuh bermakna kepada golongan belia. Seperti tahun-tahun lepas, negara kita menyambut Hari Belia Negara pada tarikh ini sebagai menghargai peranan dan sumbangan belia kepada pembangunan negara.

Saudara-saudari,

Memandangkan negara masih berjuang menangani wabak Covid-19, maka sambutan Hari Belia Negara bagi tahun ini telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Saya difahamkan, perancangan awal untuk Sambutan Hari Belia 2020 ini telah pun dibuat. Malah dengan tema yang dipilih “Dekad Ini, Dekad Anda”, menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk berganding bahu mengiktiraf golongan belia sebagai penyumbang utama kepada hala tuju pembangunan negara.

Saya percaya bahawa belia pada hari ini juga perlu menerima, menghayati dan mengambil bahagian dalam normal baharu yang sedang berlaku susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Gaya hidup dan cara bekerja yang dahulu perlu berubah sesuai dengan keadaan semasa terutama pada masa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB di seluruh negara. Sebab itu kerajaan telah mengambil langkah proaktif bukan sahaja untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 tetapi memastikan golongan belia tidak tercicir dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Saudara saudari,

Hasil tinjauan Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia pada bulan Mac menunjukkan 95.8% belia menyokong inisiatif bantuan kewangan Kerajaan menerusi Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk mendayaupayakan ekonomi belia yang terjejas akibat wabak Covid-19. 78.7% belia pula melihat inisiatif kerajaan ini mampu meningkatkan semula ekonomi negara. Dapatan ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa perancangan yang dibuat oleh kerajaan ini selari dengan harapan golongan belia. Namun, saya yakin, masih banyak lagi usaha yang perlu kita laksanakan bersama bagi menangani keadaan selepas wabak Covid-19 berakhir.

Adalah diharapkan, peruntukan hampir RM10 bilion yang telah diumumkan oleh Kerajaan sebelum ini dapat dimanfaatkan oleh semua golongan belia.

Kerajaan juga menghargai belia dari pelbagai kaum yang tampil membantu masyarakat sepanjang tempoh negara kita menangani wabak COVID-19 ini. Ramai belia yang terlibat sebagai petugas di barisan hadapan dalam sektor kesihatan, keselamatan, kebersihan, kesukarelaan dan kemasyarakatan. Tidak dilupakan juga kepada yang menyumbang idea-idea kreatif dan berinovasi dalam membantu mempermudahkan lagi urusan sesama rakyat.

Para pemimpin belia, agamawan muda dan artis belia yang berpengaruh di media sosial turut memberi sokongan dengan kempen “stay at home”, “duduk rumah” dan “kekal tenang” sebagai usaha dalam memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia terhadap kepentingan untuk menjayakan usaha PKPB ini. Anda semua adalah wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan. Semoga anda memperoleh ganjaran yang baik dalam kehidupan.

Akhir kata, saya ucapkan Selamat Hari Belia Negara 2020 kepada semua warga belia di negara ini. Semoga saudara saudari terus menyerlah sebagai anak muda yang berdaya saing dan menjadi aset kepada negara.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas