Malaysia-Turki sedia bekerjasama bangunkan vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR, 29 Mei — Malaysia sedia bekerjasama dengan Turki dalam membangunkan vaksin dan ubat-ubatan berkaitan COVID-19, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang menerima panggilan daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam, memaklumkan kedua-dua pemimpin negara itu turut bersepakat untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam usaha memerangi penularan pandemik dan pasca-COVID-19.

“Semalam saya menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki. Saya menzahirkan rasa simpati dan solidariti Malaysia atas bilangan kes dan jumlah kematian yang tinggi akibat COVID-19 yang direkodkan di Turki.

“Saya juga berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani COVID-19, antaranya, pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang menyaksikan jumlah jangkitan dan kematian semakin menurun manakala kadar pemulihan kini melebihi 80 peratus,” katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata langkah memperkasa hubungan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan tinggi, perubatan dan teknologi pertahanan turut dibincangkan bersama Erdogan.

Beliau berkata Erdogan juga membangkitkan peranan besar Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, dan Turki menyeru agar Malaysia terus aktif di persada antarabangsa, antaranya, menolak sekeras-kerasnya tindakan unilateral oleh Israel ke atas Palestin termasuk merampas tanah milik rakyat Palestin.

“Saya mengulangi komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai objektif yang sama iaitu menyokong rakyat Palestin untuk bebas daripada penjajahan Israel dan merealisasikan aspirasi sebuah negara Palestin yang bebas.

“Kami akhiri perbualan kira-kira 30 minit itu dengan sepakat bahawa semua inisiatif kerjasama dua hala harus disambung semula sebaik pandemik COVID-19 berakhir,” katanya bahawa mereka turut mengucapkan salam Aidilfitri, dalam perbualan tersebut.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas