Kenyataan di Sidang Kemuncak Atas Talian NAM berhubung COVID-19

KENYATAAN
SIDANG KEMUNCAK SECARA ATAS TALIAN BAGI PERGERAKAN NEGARA-NEGARA BERKECUALI (NAM) BERHUBUNG COVID-19

Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia
Putrajaya, 4 Mei 2020

 

Tuan Yang Terutama Ilham Aliyev, Presiden Republik Azerbaijan dan Ketua-Ketua Pergerakan Negara Berkecuali, Tuan-tuan dan Puan-puan,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan atas ucapan tahniah sempena pelantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya amat berharap dapat bekerjasama dengan anda semua, bukan sahaja dalam menangani COVID-19, tetapi juga dalam segenap bidang yang berupaya memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Seperti yang telah disebut oleh banyak pihak, dunia sedang berdepan dengan krisis COVID-19 yang belum pernah dihadapi mana-mana negara sebelum ini. COVID-19 telah mengancam dunia, menjangkiti jutaan malah membunuh ribuan orang. Untuk memeranginya, kebanyakkan daripada kita telah melaksanakan pelbagai pendekatan demi menghentikan penularan wabak ini di negara masing-masing.

Tuan Yang Terutama,

Sejak COVID-19 pertama kali dikesan pada bulan Disember 2019, kita semua fokus terhadap usaha menambahbaik sektor perkhidmatan kesihatan – face masks, test kits, ventilators atau personal protective equipments untuk kegunaan petugas barisan hadapan. Pendek kata, sejak dari awal, tumpuan kita adalah untuk melindungi rakyat dari dijangkiti wabak ini. Namun, seperti kita sedia maklum, COVID-19 bukan sekadar krisis kesihatan, tetapi turut menyebabkan krisis ekonomi dan sosial.

Bagi pihak Malaysia – demi memastikan negara ini berupaya menangani impak COVID-19, Kerajaan saya telah membuat perancangan berdasarkan enam pendekatan (six-step plan).

Pertama, bagi memutuskan (resolve) rantaian penularan COVID-19, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Sejak dilaksanakan 18 Mac lalu, ia telah memperlihatkan kesan yang positif. Bukan sahaja kadar kes baharu yang makin terkawal, malah kadar kematian berbanding kadar sembuh juga cumalah 1.7 peratus.

Kedua, kami menumpukan terhadap usaha memastikan ketahanan (resilience) ekonomi. Mengambil kira faktor luaran seperti perdagangan antarabangsa yang perlahan, ketidaktentuan dari sudut permintaan dan penawaran, serta faktor dalaman seperti penurunan kadar perbelanjaan orang ramai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan – kami memperkenalkan tiga Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu menampung pendapatan rakyat serta melaksanakan langkah-langkah bersesuaian bertujuan memulakan semula ekonomi.

Hari ini 4 Mei, Malaysia telah memulakan semula (restart) ekonomi secara meluas namun tetap dalam keadaan terkawal dan teratur. Misalnya, walaupun sebahagian besar sektor ekonomi telah dibuka semula hari ini, namun sektor serta aktiviti yang memerlukan rakyat berkumpul dan berhimpun masih tidak dibenarkan.

Malaysia memulakan semula ekonomi di samping mewartakan SOP baharu bagi memastikan tidak berlakunya gelombang jangkitan secara besar-besaran. Pembukaan semula sektor ekonomi ini juga tidak bermakna Perintah Kawalan Pergerakan telah berakhir. Penting untuk dinyatakan, perintah ini masih berkuatkuasa sekurang-kurangnya sehingga 12 Mei ini.

Seterusnya ialah melaksanakan strategi pemulihan (recovery) ekonomi dalam menghadapi normal baharu; revitalisasi (revitalize) ekonomi yang menyeluruh dan terakhir reformasi (reform) struktur ekonomi bagi mendepani landskap baharu selepas berakhirnya COVID-19.

Kejayaan keenam-enam ‘R’ yang telah saya nyatakan hari ini – resolve, resilience, restart, recovery, revitalize, dan reform amat bergantung kepada kesungguhan dan tekad rakyat kita dalam menghadapi normal baharu. Selepas ini, keadaan tidak akan sama seperti sebelum wabak COVID-19 menular namun kita mesti tetap perlu berusaha sedaya upaya untuk cuba mengembalikan negara kita kepada situasi yang jauh lebih baik berbanding apa yang sedang kita hadapi sekarang. Hidup mesti diteruskan namun pada masa yang sama kita mesti bersama-sama dan berganding bahu dalam mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak ini.

Kebimbangan Malaysia ialah, jika kita tidak bersatu, negara-negara kecil akan terpinggir apabila ubat dan vaksin dibangunkan oleh syarikat farmasi besar di negara-negara maju. Kita mesti mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengisytiharan yang meminggirkan kepentingan negara anggota NAM apatah lagi di saat dunia sedang berdepan krisis COVID-19 ini. Malaysia percaya, NAM perlu memperjuangkan perolehan bekalan ubatan dan vaksin bagi negara-negara yang lebih kecil.

Tuan Yang Terutama,

Kita tidak bersendirian dalam memerangi musuh yang tidak boleh dilihat ini. Kita semua telah dan akan terus menerima kesan daripada krisis ini. Sebab itu, kita mesti bersatu. Oleh itu, Malaysia amat mengalu-alukan penubuhan Taskforce NAM. Ia penting bagi membolehkan negara anggota NAM memiliki pangkalan data bersama sekaligus memudahkan kita mengenalpasti keperluan perubatan, sosial dan kemanusiaan. Saya juga ingin menyatakan bahawa Malaysia menyambut baik inisiatif Azerbaijan mempromosikan nilai-nilai multilateralisme dalam memerangi wabak ini.

Pergerakan NAM terdiri daripada 120 negara sebagai ahli serta 17 wilayah dan 10 pertubuhan antarabangsa sebagai pemerhati. Ia merangkumi hampir dua pertiga anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mewakili lebih separuh populasi dunia. Ada negara kecil, pendekatan tangani krisis #COVID19 setara malah lebih baik daripada negara yang lebih besar. Justeru, inilah masanya untuk negara-negara berkecuali buktikan kepada negara-negara kuasa besar bahawa dengan bersatu hati dan bekerjasama rapat, kita juga mampu tangani wabak ini dengan baik dan berkesan. InsyaAllah.

Terima kasih

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas