Usia rentas tujuh dekad, RTM teguh sebagai penyedia sumber berita utama

KUALA LUMPUR, 1 April — Meskipun sudah merentasi usia lebih tujuh dekad, pelopor stesen penyiaran pertama negara Radio Televisyen Malaysia (RTM) tetap teguh, unggul dan menjadi pilihan utama sumber informasi berita di negara ini.

RTM, menerusi slogan “Penghubung Generasi,’’ terkenal sebagai suara penghubung antara kerajaan dan rakyat melalui acuannya yang tersendiri tanpa mengetepikan identiti, adat serta budaya ketimuran masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menyambut ulang tahun ke-74 hari ini, stesen penyiaran yang bermula dengan hanya satu saluran iaitu TV1 atau dahulunya dikenali sebagai RTM 1, terus mengorak langkah ke hadapan dengan lima saluran TV dan 34 stesen radio di seluruh Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam catatan di akaun Twitter rasmi beliau menzahirkan ucapan bersempena sambutan ulang tahun itu beserta tanda pagar ‘Dudukrumah’ dan ‘Just stay at home.’

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah juga mengambil peluang menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada RTM atas baktinya dalam menyebarkan berita yang tepat kepada rakyat.

“Saya cukup yakin dengan tenaga seluruh kakitangan dan pekerja RTM dalam menaburkan bakti serta menyebarkan maklumat, mereka berbakat dan profesional, sanggup menggalas amanah serta sanggup berkorban demi tugas tanpa mengira masa dan situasi.

“Pada masa negara berperang dengan COVID-19, RTM memainkan peranan sebagai penyiar utama yang diyakini dan menyiarkan pengumuman rasmi beserta penerangan yang sahih. Ini sangat penting supaya rakyat menerima maklumat yang benar, jelas dan pantas sekali gus mengelakkan perkhabaran palsu yang mengelirukan dan menggusarkan,” katanya menerusi rakaman video di akaun Facebooknya di sini hari ini.

Saifuddin turut menyeru orang ramai agar terus mendokong RTM, yang merupakan agensi di bawah kementeriannya, sebagai stesen peneraju industri penyiaran yang diyakini dalam negara.

“Selamat menyambut ulang tahun RTM – Radio Televisyen Malaysia yang ke-74!,” ucap beliau.

Orang ramainya, khususnya penonton setia RTM, juga tidak melepaskan peluang berkongsi ucapan penghargaan kepada stesen itu.

Menerusi catatan di Facebook, Ahmad Fadil berkata “Selamat Ulang Tahun ke-74 RTM, terima kasih, kami sentiasa bersama RTM, teman setia kami.

Jaazuddin pula berkata “Selamat hari ulang tahun ke-74 RTM, tahniah dan terima kasih, semoga terus menyalurkan informasi bermakna kepada masyarakat dengan kandungan yang kreatif dan inovatif.”

Beribu pejabat di Angkasapuri, RTM merupakan stesen penyiaran awam milik kerajaan yang memiliki serta mengendalikan beberapa saluran radio dan televisyen.

Bermula sebagai saluran radio pada 1 April 1946, RTM telah memperluaskan perkhidmatannya dengan mengendali lebih 30 saluran radio yang bersifat nasional, negeri dan tempatan tanpa mengetepikan mana-mana segmen audiens dalam masyarakat.

Meskipun terpaksa berdepan persaingan stesen penyiaran swasta dan berbayar selain penyedia perkhidmatan digital, RTM ternyata terus menjadi pilihan rakyat di negara ini.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

16 − 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas