Tabung COVID-19 terima sumbangan lebih RM22 juta

PUTRAJAYA, 7 April — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima sumbangan berjumlah RM4 juta daripada syarikat korporat untuk Tabung COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak RM22.6 juta.

Dalam acara ringkas yang diadakan di bangunan Perdana Putra, Telekom Malaysia Bhd yang diwakili Pengerusinya, Rosli Man menyampaikan sumbangan sebanyak RM2 juta.

Sunway Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Sunway Property Development Malaysia & Singapore, Serena Cheah dan Ranhill Bhd diwakili Datuk Seri Kamarudin Ambok, masing-masing menyumbang RM1 juta.

Sementara itu, Muhyiddin turut menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM2 juta daripada Western Digital Sdn Bhd yang diwakili Pengerusi Kumpulan (Operasi Malaysia) Datuk Syed Hussain Aljunid.

Dalam pada itu, Muhyiddin melalui hantaran di laman Facebooknya berkata sehingga semalam, sejumlah RM5.68 juta dana daripada tabung berkenaan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas akibat wabak itu.

Perdana Menteri berkata sebanyak RM195,000 juga disalurkan atas nama Bayaran Ihsan Kematian kepada 39 waris mangsa jangkitan COVID-19.

“Pada masa sama, kerajaan sedang menghubungi waris kepada mangsa yang lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bantuan khas berjumlah RM13,400 pula sudah diserahkan kepada pekerja yang hilang sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji dalam kalangan kontak COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan agihan wang sumbangan sebanyak RM5.88 juta.

Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas