Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19

SIDANG KEMUNCAK KHAS ASEAN MENGENAI COVID-19

Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 telah diadakan hari ini menerusi persidangan video, yang dipengerusikan oleh TYT Nguyen Xuan Phuc, Perdana Menteri Vietnam, dan disertai oleh ketua-ketua kerajaan 10 anggota pertubuhan serantau itu.

Malaysia mencadangkan ASEAN merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19, bagi memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kewangan, bahkan jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan kepada penduduk serantau.

Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN perlu mengandungi langkah-langkah untuk menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau ini.

Ini termasuk memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan; di samping prasarana kritikal untuk laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut.

Malaysia menekankan bahawa ada hikmah di sebalik setiap krisis. Semua negara menghadapi masalah yang sama dan semua Negara Anggota ASEAN perlu bekerjasama bagi memastikan tidak ada siapa yang tercicir.

ASEAN juga perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.

Malaysia menyeru Negara Anggota ASEAN agar meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi landskap baharu di rantau ini.

ASEAN tidak boleh dibiarkan kembali ke zon selesa, sebaliknya membangunkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan dan kuasa baharu, bukan hanya untuk 600 juta penduduknya bahkan untuk seluruh dunia.

Malaysia juga menyokong pengwujudan COVID-19 ASEAN Response Fund (Dana Khas COVID-19 ASEAN) untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan.

ASEAN perlu terus membangunkan rezab bekalan perubatan serantau, selain menggunakan rezab gudang simpanan sedia ada yang relevan bagi membantu keperluan negara anggota ketika kecemasan kesihatan.

Pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN, yang diterajui oleh Malaysia, seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam (ASEAN EOC Network) dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.

Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama anggota ASEAN yang lain.

Pejabat Perdana Menteri
14 April 2020


Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas