PM akan sertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN melalui persidangan video

KUALA LUMPUR, 13 April — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19 menerusi persidangan video esok (14 April).

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata sidang kemuncak itu turut disertai semua pemimpin negara ASEAN bersama Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi, dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam merangkap Pengerusi ASEAN, Nguyễn Xuân Phúc.

“Sidang kemuncak itu akan membincangkan mengenai usaha bersepadu ASEAN dalam memerangi COVID-19 dan mengenai persediaan menghadapi wabak yang telah menjejaskan ribuan rakyat ASEAN.

“Sidang kemuncak itu dijangka menerima Deklarasi Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19,” kata kenyataan itu.

Memetik kenyataan itu lagi, pada sebelah petang hari sama Muhyiddin akan menyertai Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga mengenai COVID-19, juga melalui persidangan video.

Ia akan turut disertai semua pemimpin negara anggota ASEAN dan tiga negara China, Jepun, dan Korea Selatan selain Lim dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Semasa sidang kemuncak itu, para pemimpin negara anggota ASEAN dan ASEAN Campur Tiga akan bertukar pandangan serta mencari kaedah bagaimana bentuk kerjasama yang boleh diwujudkan untuk menangani pandemik COVID-19.

“Sidang kemuncak berkenaan dijangka mengeluarkan Pernyataan Bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai COVID-19,” tambah kenyataan itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas