Pesuruhjaya Tinggi Britain Ke Malaysia adakan pertemuan dengan PM Muhyiddin

PUTRAJAYA, 9 April — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menerima kunjungan hormat dari Pesuruhjaya Tinggi Britain Charles Hay di pejabatnya di Putrajaya hari ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 9 April — Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay hari ini, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, antara lain untuk membincangkan mengenai kesan krisis COVID-19.

Suruhanjaya Tinggi itu berkata pada pertemuan berkenaan perbincangan turut tertumpu mengenai kerjasama dua hala lebih luas, terutama bagaimana Britain dan Malaysia dapat bekerjasama untuk pulih daripada krisis.

“Kami mengikuti rapat perkembangan mengenai perjalanan udara serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia,” kata Hay dalam satu kenyataan kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Beliau turut membangkitkan isu warga asing, termasuk British, dengan permit kerja atau pas lawatan sosial jangka panjang yang kini berada di luar Malaysia dan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia semasa tempoh PKP.

Mengenai hubungan dua hala United Kingdom-Malaysia, utusan itu berkata: “Kami berharap hubungan kedua-dua negara dapat terus diperkukuhkan selain menaruh harapan penubuhan Jawatankuasa Bersama Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan dengan kerajaan Malaysia dapat direalisasikan.”

“Kami juga berminat mendapatkan status Rakan Dialog dengan ASEAN untuk menjalin kerjasama dalam kerangka lebih luas bukan sekadar dalam perdagangan, pelaburan dan keselamatan,” katanya.

Pada pertemuan itu, Hay berkata Muhyiddin turut bertanya khabar Perdana Menteri British Boris Johnson.

Kini, terdapat antara 8,000 hingga 10,000 warga British menetap di Malaysia.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas