Malaysia sedia kongsi penemuan rawatan COVID-19 dengan rakan ASEAN+3

KUALA LUMPUR, 14 April — Malaysia akan berkongsi hasil penemuannya dengan pakar dan saintis dari ASEAN dan rakan pakatan Campur Tiga – China, Jepun dan Korea Selatan – untuk bersama-sama berusaha mencari vaksin COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai COVID-19 yang dijalankan melalui persidangan video hari ini, beliau berkata Malaysia adalah antara negara pertama yang bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk projek penyelidikan ‘Solidarity Trial’ bagi mencari ubat yang berpotensi untuk pandemik berkenaan.

“Penglibatan dalam ujian yang diselaraskan secara global membolehkan kami mengumpul data, membandingkan keselamatan dan keberkesanan protokol rawatan menggunakan gabungan ubat yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata adalah penting rakan-rakan Campur Tiga bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi memastikan Asia Pasifik sebagai sebuah rantau, pulih daripada krisis ini.

“Sebagai contoh, kita boleh belajar dari China mengenai sekatan pergerakan yang mereka telah dikenakan di wilayah mereka dan apa yang telah mereka lakukan selepas menamatkan sekatan ini.

“Bagi Malaysia, China telah bersama kami sejak dari awal lagi, dan kami sangat menghargai bantuan yang diberikan oleh China kepada Malaysia pada masa kami memerlukannya.

Bagi pihak rakyat Malaysia, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada China atas segala yang telah mereka lakukan terhadap kami dalam menghadapi pandemik COVID-19.

“Dengan Jepun, kita dapat mempelajari bagaimana mereka telah berjaya melaksanakan pakej rangsangan terbesar di Asia Pasifik dan bagaimana kita sebagai negara di ASEAN dapat mengambil apa yang baik untuk negara kita dan dengan Korea Selatan, penyelesaian mereka untuk ujian massa sangat berguna bagi kita di ASEAN belajar dan melaksanakan di negara kita,” kata beliau.

Muhyiddin berkata pada masa ini, Malaysia berpendapat semua perlu kekal komited memastikan pasaran terbuka, mengekalkan aliran biasa perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi serantau tanpa halangan yang tidak perlu untuk perdagangan atau gangguan kepada rantaian bekalan global.

Negara-negara, katanya, perlu menstabilkan pengeluaran dan pembekalan barangan dan perkhidmatan penting yang diperlukan untuk krisis berkenaan, termasuk bekalan perubatan yang penting serta produk pertanian kritikal – di samping mengekalkan dan mempelbagaikan hubungan rantaian bekalan di rantau ini dan seterusnya.

“Malaysia yakin dengan keupayaan berterusan dan kolektif dalam memerangi COVID-19, kita boleh dan akan mengatasinya bersama-sama. Kebergantungan dan perpaduan kini perlu dan tidak ada negara yang boleh meredah krisis ini dengan jayanya secara bersendirian,” katanya.

Beliau berkata skop kerjasama perlu dikembangkan dengan perpaduan, visi dan kepimpinan.

“ASEAN bertekad untuk menyelesaikannya sebagai satu blok 10 negara, dan kami di Malaysia ingin rakan Campur Tiga kami turut bersama ASEAN dan menyertai usaha kami untuk masa depan yang lebih baik dan lebih cerah untuk rakyat kita,” kata beliau.

Terdahulu, Muhyiddin berkongsi pengalaman dan pengetahuan Malaysia sendiri dalam menghadapi pandemik COVID-19, semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19 yang dijalankan melalui persidangan video.

Sidang kemuncak maya itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc dan disertai oleh para pemimpin ASEAN yang lain.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas