Kerajaan berusaha pulihkan ekonomi, ambil pendekatan agresif tarik FDI – PM

KUALA LUMPUR, 25 April — Kerajaan akan berusaha untuk memulihkan ekonomi negara yang dilanda pandemik COVID-19, termasuk mengambil pendekatan agresif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas ini, seluruh dunia mahukan pelaburan berikutan modal dunia tidak mencukupi. Jika Malaysia tidak mengambil langkah agresif untuk menarik pelaburan dengan cara baharu dan agresif, kita akan ketinggalan.

“Kerajaan lain juga akan mengambil pendekatan dari segi teknologi, dan ini memerlukan kita mengambil pendekatan baharu dalam semua aspek,“ katanya dalam temu bual dengan RTM dan Astro Awani yang juga disiarkan di Bernama TV (Astro 502) dan stesen televisyen lain di sini, hari ini.

Katanya beliau telah mengingatkan Jemaah Menteri supaya berada di hadapan cabaran itu.

“Saya telah mengingatkan Jemaah Menteri, sekarang ini nampak trend di Malaysia, COVID-19 sudah agak terkawal, menurun.

“Bagaimanapun, di negara jiran, masih lagi bergelut dengan masalah, berikutan jumlah yang lebih besar dan negara lain juga begitu.

“Sepatutnya jika mahu pulih, kita perlu pulih lebih cepat tetapi saya telah mengingatkan jangan orang lain yang di belakang boleh pergi ke hadapan daripada kita, disebabkan strategi kita tidak betul, langkah kita tidak tepat atau tindakan kita tidak berkesan atau dasar kita tidak mengenai pada sasarannya. Ini perkara yang kita sedang fikirkan,” jelas Muhyiddin.

Oleh itu, katanya perancangan perlu dibuat secara teratur dalam apa keadaan sekali pun.

“Ini memerlukan kebijaksanaan, malah keberanian. Bukan hanya buat itu sahaja dan mengharapkan sesuatu yang baik. Sehubungan itu, perlu ada pakar, ada pasukan untuk menguruskan perkara itu dan kita meneliti secara mendalam sebelum kita melaksanakannya,” katanya.

Dari sudut swasta, katanya mereka perlu mencari jalan untuk mengurangkan kos perniagaan dan pendekatan digital boleh membantu mereka.

Menjelaskan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Muhyiddin berkata kerajaan memahami kesannya kepada ekonomi tetapi ia tidak mempunyai pilihan lain untuk mengawal wabak COVID-19.

“Jelas terbukti sehari perniagaan kita tidak berjalan, kita rugi RM2.4 bilion. Cuba kira berapa hari sudah kita mengenakan PKP ini, kesan kepada ekonomi amat buruk.

“Saya sedar, tetapi, disebabkan penting untuk mengawal wabak itu supaya tidak berjangkit dan merebak ke seluruh negara dengan jumlah berpuluh-puluh ribu atau mati beribu seperti yang berlaku di sesetengah negara. Kita tidak ada pilihan,” katanya.

Katanya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 bernilai RM260 bilion yang disediakan oleh kerajaan bertujuan melindungi ekonomi.

“Pakej tersebut (dirangka) supaya kedudukan ekonomi kita tidak begitu teruk sekali. Ini pun dikatakan pakej rangsangan, untuk bantuan, datang dalam satu bentuk satu jangka yang tidak terlalu panjang, mungkin antara tiga dan enam bulan sahaja,” katanya.

Pembiayaan langsung kerajaan berjumlah RM35 bilion, yang akan meningkatkan defisit belanjawan kepada 4.7 peratus pada tahun ini daripada unjuran sebelum ini sebanyak 3.2 peratus.

“Kita perlu menentukan dalam kita menjaga dan memelihara kesejahteraan rakyat daripada wabak COVID-19, kita juga mahu memastikan ekonomi kita mampu bertahan dalam satu jangka masa yang agak berpatutan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia terbentuk atas dasar ekonomi yang kukuh dan telah berkembang dalam tempoh yang lama, dan ia tidak boleh dibiarkan runtuh.

“Melalui kegiatan ekonomi, kerajaan memungut cukai tetapi dalam keadaan kalau perniagaan sudah rosak, atau rugi, mana pendapatan yang kerajaan boleh tampung untuk membiayai segala keperluan rakyat. Tak mungkin kita dapat melaksanakan itu,” katanya.

Oleh itu, katanya perlu membuat sesuatu untuk mendokong usaha yang dilakukan oleh pihak industri, pihak perniagaan, dan rakyat yang telah diambil bekerja dalam sektor-sektor sama ada kecil atau sederhana atau besar, dapat mempertahankan kedudukan mereka.

“Itu menjadi keutamaan saya, jangan ada yang dibuang kerja, atau diberhentikan dan lain-lain lagi. Langkah yang kita buat, dalam pakej rangsangan itu seperti subsidi upah ialah supaya kita dapat membantu syarikat, kilang. Dengan cara itu, sedikit sebanyak beban yang ditanggung majikan dapat dibantu dengan pemberian subsidi upah,” katanya.

Antara inisiatif lain, katanya moratorium kepada segala bentuk pinjaman pada bank.

Mengenai pendigitalan dan mengguna pakai perniagaan dalam talian, katanya walaupun terdapat e-dagang di Malaysia, COVID-19 telah mempercepatkan pelaksanaannya.

“Urus niaga dalam talian dan e-dagang sudah ada dalam sistem kita sebelum ini tetapi tidak meluas. Justeru, dalam situasi sekarang pesanan dalam tålian sudah menjadi trend. Oleh itu, ini satu perkembangan yang bagi saya menggalakkan, satu trend baharu.”

“Kita perlu memastikan ekonomi terus maju tetapi dalam keadaan kesulitan yang kita hadapi, kita perlu menguruskannya. Jadi, apa yang sedang kerajaan lakukan ialah menguruskan keadaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mula membuka semula beberapa kegiatan ekonomi secara berfasa dan bersedia untuk memastikan keadaan ekonomi kembali teguh seperti dahulu atau lebih baik.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas