COVID-19 antara topik perbincangan PM Muhyiddin dan Emir Qatar

KUALA LUMPUR, 27 April — Isu pandemik COVID-19, yang melanda dunia ketika ini, menjadi antara topik yang dibincangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani hari ini.

Muhyiddin yang menerima panggilan telefon daripada Emir Qatar itu, berkata Sheikh Tamim mengikuti secara dekat langkah-langkah yang diambil Malaysia dalam membendung penularan penyakit itu.

“Yang Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani juga berkongsi maklumat mengenai COVID-19. Saya turut merakamkan penghargaan bagi pihak kerajaan atas bantuan yang diberikan Qatar dalam membantu lapan rakyat Malaysia yang dijangkiti COVID-19 di negara itu,” kata Muhyiddin menerusi catatan di laman Facebooknya.

Selain isu virus jangkitan berkenaan, mereka turut membincangkan isu hubungan dua hala serta kepentingan meneruskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kami membincangkan pelbagai perkara ke arah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara termasuk hal-hal berkaitan perdagangan dan ekonomi.

“Kami turut memperbaharui komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan diplomatik sedia ada di samping meneroka potensi baharu yang lebih bermanfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Muhyiddin berkata Sheikh Tamim turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Muhyiddin berkata Sheikh Tamim turut mengundang beliau untuk berkunjung ke Qatar selepas pandemik COVID-19 berakhir.

“Saya turut menyampaikan undangan balas,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 29 Feb lepas.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas