AS$300 Juta Daripada Dana 1MDB Dipulangkan Kepada Malaysia

PMO

KENYATAAN MEDIA
PERDANA MENTERI

AS$300 JUTA DARIPADA DANA 1MDB DIPULANGKAN KEPADA MALAYSIA 

Kerajaan Malaysia ingin mengumumkan bahawa AS$300 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS). Jumlah ini merupakan dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS.

Pada 30 Oktober 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low, telah mencapai penyelesaian dengan DOJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang telah difailkan oleh jabatan itu ke atas aset-aset yang telah dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.

Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB yang telah disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low.

Pemulangan AS$300 juta ini bermakna dana 1MDB yang telah dikembalikan kepada Malaysia – sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset – secara keseluruhannya kini berjumlah AS$620 juta. Proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya Kedutaan negara itu di Kuala Lumpur, atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah AS$300 juta ini.

Saya juga berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan.

Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan Kerajaan akan terus bekerjasama dengan AS, DOJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang.

YAB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Perdana Menteri
15 April 2020

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas