Tawar jiwa raga, PM Muhyiddin mahu kemudi Malaysia lebih gemilang

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) — Menawarkan jiwa dan raga untuk negara, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Malaysia memberi peluang kepadanya memanfaatkan pengalaman luas beliau dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.

Dalam ucapan sulung bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan stesen-stesen televisyen malam ini, beliau mengajak rakyat untuk bersama-samanya membina semula negara dan mengembalikan kegemilangan Malaysia.

“Saya merayu agar saudara dan saudari memberikan sokongan padu kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini.

“Berilah saya peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan,” katanya.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri susulan kemelut kepimpinan negara berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb yang menyebabkan terbubarnya kerajaan Pakatan Harapan manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak keluar daripada pakatan itu.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, menegaskan beliau merupakan Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.

“Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.

“Sama ada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana Menteri saudara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta diberikan masa untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu pimpinannya.

Muhyiddin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana bersabar dan tenang dalam menghadapi kemelut yang melanda negara.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

sixteen − five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas