PM Muhyiddin umum Kabinet tanpa Timbalan Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 9 Mac — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kabinetnya merangkumi 31 menteri, dan buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri.

Perdana Menteri sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pengumuman jemaah menteri itu dibuat oleh Perdana Menteri pada sidang akhbar khas di Perdana Putra di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pelantikan menteri-menteri kanan itu akan membantu beliau menyelaras hal ehwal kabinet yang berkaitan dengan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Perdana Menteri berkata pelantikan menteri-menteri kanan itu akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang yang berkaitan dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan.

“Saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat – a cabinet that delivers.

“Menteri-menteri kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat kabinet pada waktu ketiadaan saya dalam negara. Dengan adanya menteri-menteri kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik,” katanya.

Beliau berkata untuk memastikan kabinet yang terbentuk adalah kabinet yang berintegriti, semua anggota kabinet yang diumumkan itu telah melepasi tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhyiddin turut dilihat mengambil tindakan “di luar kotak” dalam mengisi barisan kabinet baharunya dengan tidak bersandarkan kepada ahli politik semata-mata dalam pentadbirannya.

Elemen baharu ini dicerminkan dalam pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pelantikan teknokrat Tengku Zafrul itu dilihat sebagai sesuatu yang bersejarah kerana portfolio penting dan berpengaruh itu pada kebiasaannya dipegang oleh menteri kanan dalam parti pemerintah.

Turut mendapat perhatian ialah kembalinya PAS ke persada Kerajaan Persekutuan selepas 42 tahun dengan pelantikan tiga wakil rakyatnya menyertai kabinet.

Mereka ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Alam Sekitar), Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan bertanggung jawab hal Parlimen dan Undang-undang serta Ahli Jawatankuasa Kerja parti Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Muhyiddin berkata bagi memenuhi keperluan semasa, beberapa kementerian distruktur semula antaranya Kementerian Pendidikan dengan mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi, dan penubuhan kementerian baharu iaitu Kementerian Perpaduan Negara.

Pewujudan Kementerian Alam Sekitar (sebelum ini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar) serta satu portfolio khusus bagi menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Kementerian Pengajian Tinggi akan diterajui Datuk Dr Noraini Ahmad manakala Datuk Halimah Mohamed Sadique dilantik Menteri Perpaduan Negara dan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Muhyiddin turut memperkukuhkan barisan kabinetnya dengan kehadiran bekas-bekas menteri termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengisi jawatan Menteri Luar; Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); dan Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Bekas menteri yang turut mendapat tempat dalam saf jemaah menteri Muhyiddin ialah Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan).

Yang lain ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri); Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); dan Datuk Seri Rina Harun (Menteri Wanita dan Keluarga) dan Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan).

Masyarakat Cina dan India juga mempunyai wakil dalam kabinet itu apabila Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia.

Antara muka baharu yang dilantik menganggotai kabinet ialah Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan); Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Menteri Pembangunan Luar Bandar);

Muka baharu lain ialah Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi); Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna); Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara).

Muhyiddin berkata beliau sedar rakyat amat berharap untuk membantu mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah yang dihadapi dan justeru kabinet yang dibentuk itu akan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berfokus dan berkesan, cekap, peduli rakyat, telus, berintegriti dengan struktur yang lebih mantap.

“Saya juga akan memastikan kabinet saya adalah sebuah kabinet yang berfungsi serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas