PM Muhyiddin terima sumbangan RM4.25 juta untuk tabung COVID-19

PUTRAJAYA, 30 Mac — Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM4.25 juta dan peralatan keperluan kesihatan bernilai lebih RM26 juta daripada enam syarikat korporat untuk Tabung COVID-19.

Sumbangan yang diterima hari ini menjadikan wang tunai terkumpul yang diterima untuk Tabung COVID-19 kini mencecah RM14.2 juta.

Kesemua sumbangan itu disampaikan kepada Muhyiddin oleh wakil syarikat korporat di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Syarikat yang menyampaikan sumbangan pada hari ini ialah Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, SM Nasaruddin SM Nasimuddin yang menyampaikan replika cek berjumlah RM1.25 juta.

Puncak Niaga Holdings Berhad menyumbang wang tunai RM1 juta selain peralatan perubatan termasuk 28 unit mesin bantuan pernafasan dan satu unit mesin haemodialisis bernilai RM5 juta yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail.

Turut menyumbang wang tunai RM1 juta ialah syarikat E-Idaman Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya, Zaim Husni Omar.

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) yang diwakili Presidennya, Datuk Zainuddin Abd Rahman memberi sumbangan berjumlah RM500,000.

Leong Hup International Berhad turut menyumbang wang tunai RM500,000 selain dua unit mesin bantuan pernafasan yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Lau Tuang Nguang.

Sementara, The Edge Media Group yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Kay Tat menyumbang peralatan dan keperluan kesihatan COVID-19 bernilai RM21 juta.

Rozali ketika ditemui media selepas penyampaian sumbangan itu berkata, inilah masa bagi syarikat korporat menyumbang kepada keperluan orang ramai dan membantu kerajaan terutamanya pihak hospital dalam mengawal jangkitan COVID-19.

Sementara itu, Lau menggesa semua rakyat Malaysia agar mengikuti arahan kerajaan dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three + 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas