PM lawat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 berisiko rendah di MAEPS

SERDANG, 30 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Perdana Menteri diiringi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Muhyiddin yang tiba di pusat itu pada pukul 5.45 petang, meluangkan masa hampir sejam mendengar taklimat dan meninjau pusat tersebut yang berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari melibatkan pelbagai agensi kerajaan yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dr Adham yang ditemui media selepas lawatan itu berkata pusat berkenaan adalah idea perdana menteri sendiri sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Kami akan merawat kes-kes positif COVID-19 (di sini) yang tidak menunjukkan sebarang simptom atau mempunyai simptom ringan,” katanya.

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah itu mampu menempatkan sehingga 600 pesakit pada satu-satu masa dan ia diselaraskan oleh Nadma dengan kerjasama KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat itu ialah perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit COVID-19, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray, dan perkhidmatan makmal patologi.

Kemudahan yang disediakan kepada pesakit termasuk katil, meja, kerusi, loker, televisyen, lounge, WiFi, komputer, surau, kamera litar tertutup, tandas, ruang mandi, bilik persalinan dan ruang istirahat.

Bagi anggota yang bertugas pula, pusat itu menyediakan kaunter jururawat, bilik rawatan dan kecemasan, ruang rehat anggota, bilik persalinan anggota dan ruang mandi termasuk ruang “donning/ doffing” pakaian perlindungan diri (PPE) serta ruang mesyuarat dan seminar.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × one =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas