Perutusan Khas COVID-19 (18 Mac 2020) – Stay at home

PERUTUSAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN PERDANA MENTERI
18 Mac 2020

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya hormati.

Pada malam ini, saya sekali lagi berdiri di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan status terkini wabak COVID-19 di negara kita. Hari ini terdapat 117 kes jangkitan baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 sebanyak 790.

Ini bukanlah perkembangan yang menggembirakan kita. Langkah-langkah tegas perlu terus diambil untuk membendung wabak ini daripada terus merebak.

Kerana itulah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa pada hari ini.

Saya ingin menjelaskan tujuan kerajaan melaksanakan perintah ini. Kenapa sekolah, universiti dan sebahagian pejabat, premis perniagaan dan kilang ditutup.

Tujuannya ialah supaya saudara-saudari tidak perlu bergerak ke sana sini. Saudara-saudari tidak perlu bersesak-sesak dalam LRT, MRT atau bas untuk ke tempat kerja. Tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan di waktu rehat tengahari. Anak-anak tidak perlu pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus COVID-19.

Selama tempoh dua minggu ini, saudara-saudari dan anak-anak hanya perlu berada di rumah. Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana. Dengan cara ini saudara-saudari terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularan wabak ini insyaAllah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.

Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara-saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family.

Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang. Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja.

Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rantaian jangkitan. We want to break the chain of infection. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan.

Kenapa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini selama dua minggu? Ini kerana COVID-19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) dua minggu. Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu. Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19.

Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus COVID-19 dengan berada di rumah.

Saudara-saudari,

Virus ini berjangkit dari manusia ke manusia menerusi sentuhan. Kalau saudari-saudari bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi.

Kerana itu kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya anak-anak kita tidak perlu pergi ke sekolah. Jadi mereka tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus COVID-19. Saudara-saudari juga tidak perlu ke tempat kerja supaya saudara-saudari tidak bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini. Inilah tujuannya.

Tetapi jika saudara-saudari masih bergerak ke sana sini, kemungkinan saudara-saudari bersentuhan dengan orang lain dan mendapat jangkitan wabak ini adalah tinggi.

Jadi, tolonglah. Saya merayu sekali lagi. Duduklah diam-diam di rumah.

Stay at home and protect yourself and your family.

Saudara-saudari mungkin bertanya. Kalau duduk di rumah sahaja, bagaimana dengan keperluan harian? Bolehkah pergi ke pasar? Atau kedai makan?

Jawapannya boleh. Pasar masih dibuka. Tetapi amalkan penjagaan kesihatan yang rapi. Elakkan bersentuhan dengan cara menjarakkan diri anda daripada orang lain dan sentiasa bersihkan diri. Basuh tangan dengan menggunakan sabun atau hand sanitizer. Kalau boleh mandi dengan lebih kerap supaya badan sentiasa bersih.

Kedai makan juga dibuka. Tetapi untuk mengelakkan risiko jangkitan, saudara-saudari tidak dibenarkan makan di kedai. Pesan makanan, bungkus dan bawa balik ke rumah. Atau lebih baik gunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah atau home food delivery service. Dengan cara ini, saudara-saudari tidak perlu keluar dari rumah untuk membeli makanan.

Jangan pula gunakan peluang dua minggu ini untuk lepak di kedai mamak. Jangan saudara-saudari. Ini akan meningkatkan risiko jangkitan. Elakkan melepak dengan kawan-kawan di restoran, di kopitiam, di pusat hiburan atau di mana-mana tempat yang boleh mendedahkan saudara-saudari kepada jangkitan wabak COVID-19.

Di kampung-kampung saya tahu ini musim kenduri kahwin. Maklumlah cuti sekolah. Saya ingin mengingatkan saudara-saudari, termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini ialah perhimpunan ramai, antaranya kenduri kahwin.

Jadi, kepada ibu-bapa pengantin saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah. Apabila keadaan telah bertambah baik, buatlah kenduri untuk anak kesayangan.

Saya fikir anak tuan-tuan dan saudara-mara yang dijemput hadir faham masalah besar yang sedang kita hadapi ini. Jangan malu, jangan segan. Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana masalah COVID-19. Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan para tetamu.

Ini adalah antara perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil, tetapi amat penting untuk dilakukan.

Prinsipnya mudah sahaja. Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diam-diam di rumah. Stay at home.

Nampak mudah dan remeh. Tetapi sebenarnya inilah perkara penting yang saudara-saudari mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di negara kita.

Sebagai Perdana Menteri, saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita. Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian. Saya memerlukan sokongan anda semua.

Saya memerlukan sokongan para doktor, jururawat, polis, semua penjawat awam, pekerja swasta, pelajar universiti dan saudara-saudari sekalian untuk membendung wabak COVID-19 daripada menular di negara kita.

InsyaAllah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran kita semua, saya berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya mengatasi krisis ini.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

4 + 20 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas