Perdana Menteri terima sumbangan lima syarikat korporat untuk tabung COVID-19

PUTRAJAYA, 24 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima sumbangan berjumlah RM5 juta daripada lima syarikat korporat untuk Tabung COVID-19.

Sumbangan yang diterima hari ini menjadikan jumlah terkumpul Tabung COVID-19 kini sebanyak RM8.125 juta tidak termasuk barangan yang diterima.

Replika cek dan sumbangan untuk Tabung COVID-19 disampaikan oleh wakil syarikat korporat kepada Muhyiddin di Perdana Putra di sini, hari ini.

Selain wang tunai, Perdana Menteri turut menerima sumbangan berupa 520,000 penutup hidung dan mulut daripada Titijaya Land Berhad untuk digunakan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19.

Sumbangan Titijaya Land Berhad itu disampaikan kepada Perdana Menteri oleh pengasasnya Tan Sri SP Lim.

Antara yang menyampaikan sumbangan pada hari ini ialah Spanco Sdn Bhd yang diwakili pemiliknya Tan Sri Robert Tan Hua Choon yang menyumbang sebanyak RM2 juta.

Turut memberikan sumbangan adalah DRB Hicom Berhad. Replika cek RM1 juta disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

Syarikat lain yang menyumbang kepada Tabung COVID-19 pada hari ini adalah MMC Corporation Berhad yang menyumbang RM1 juta dan disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Satu lagi syarikat yang menyumbang kepada Tabung COVID-19 ialah YTL Corporation Berhad yang menyumbang RM1 juta dengan replika cek disampaikan kepada Perdana Menteri oleh Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Francis Yeoh.

Selepas menerima sumbangan itu, Perdana Menteri berbual seketika dengan wakil syarikat korporat yang hadir dengan memastikan jarakan sosial dipatuhi.

Tabung COVID-19 dilancarkan kerajaan pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

sixteen − 13 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas